Badang S’wak bersemangat

0

Persiapan lancar, yakin tingkat pencapaian pingat pada temasya Sukma Pahang

BADANG SARAWAK: Jelinie menunjukkan demonstrasi ‘Clean & Jerk’ sambil diperhatikan oleh (dari kanan) Lee, Edmund dan Gerald. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kejayaan menggondol pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat Bawah 21 Tahun Jemputan Sarawak 2012 baru-baru ini menyemarakkan lagi semangat atlet-atlet Sukma Sarawak menjelang temasya yang tinggal 58 hari untuk disingkapkan tirainya.

Filicia Muyat, Jelinie Empera dan Carmila Runggit berkata, mereka telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi ujian getir di Kuantan nanti.

Semasa ditemuramah oleh Utusan Borneo malam kelmarin, Felicia memberitahu ini merupakan kali kedua beliau bertanding di Sukma.

“Pada Sukma 2008 di Terengganu, saya hanya menduduki tempat keempat. Kali ini, saya lebih yakin untuk memperbaiki kedudukan itu,” ujar atlet kelahiran Miri itu.

Seorang lagi wakil dari Miri iaitu Sylvia Buda berkata, tidak mustahil baginya meraih pingat emas kali ini.

Beliau yang juga bertanding buat kali kedua di pentas Sukma berjanji akan memberikan persembahan terbaik bagi membantu kontinjen negeri.
Sarawak akan menghantar enam peserta iaitu tiga lelaki dan tiga wanita bagi acara angkat berat.

Peserta lelaki ialah Carmila Runggit (kategori 94kg ke bawah), Eric Kana (52kg) dan Elbee Crismer (62kg) sementara peserta wanita ialah Felicia Muyat (63kg), Sylvia Buda (69kg) dan Jelinie Empera (75kg ke atas).

Setiap peserta akan mengambil bahagian dalam dua acara yang dipertandingkan iaitu ‘Clean & Jerk’ dan ‘Snatch.’

Sementara itu, Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata, kontinjen Sukma Sarawak menyasarkan empat pingat emas iaitu bagi kategori 75kg dan 63kg.

“Pada temasya Sukma di Melaka, kita meraih lima perak dan tiga gangsa dalam acara angkat berat. Justeru, jika atlet kita mampu untuk mengutip empat pingat emas, ia merupakan pencapaian yang sangat baik. Jika atlet-atlet kita mampu untuk meraih lebih pingat emas dari sasaran yang ditetapkan, ia adalah bonus untuk kontinjen kita.

“Acara angkat berat menyediakan 32 pingat emas untuk dimenangi. Kita hanya bertanding dalam 12 acara sahaja. Ia satu kerugian buat kita kerana kemenangan kontinjen dalam Sukma adalah berdasarkan jumlah pungutan pingat emas,” jelasnya sewaktu melawat Pusat Latihan Angkat Berat di Sport Arena malam kelmarin.

“Sehubungan itu, saya sentiasa menyeru kepada para atlet agar menetapkan sasaran mereka kepada pingat emas.”

Dalam ucapannya, Lee memberitahu para atlet agar sentiasa fokus dan memberikan komitmen sepenuhnya semasa sesi latihan.

Turut mengiringi Lee ialah Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Frederick Tan, Chief de Mission kontinjen angkat berat Sukma Sarawak Gerald Jabu dan Ketua Jurulatih Edmund Yeo.