UniMAP bantu Indonesia manfaatkan lumpur LUSI

0

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan membantu Indonesia menyelesaikan masalah lumpur yang muncul daripada perut bumi di Sidoarjo, Surabaya tanpa henti sejak 2006 sehingga menelan sekurang-kurangnya 16 buah kampung.

Kumpulan penyelidik daripada Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau UniMAP yang diketuai Mohd Mustaffa Al Bakri berada di negara itu bagi menjalankan penyelidikan bagaimana memanfaatkan lumpur yang telah kering itu sebagai bahan binaan.

Ketika dihubungi Bernama semalam, beliau berkata UniMAP kini sedang bekerjasama dengan Petra Christian University (PCU) sejak September tahun lalu bagi menyelesai masalah lumpur yang dikenali sebagai Lumpur Sidoarjo (LUSI) itu.

Mohd Mustaffa berkata UniMAP mempunyai kepakaran terhadap pembangunan teknologi geopolimer dan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin yang merupakan antara penyelidiknya melontarkan idea bagi membangunkan kerjasama penyelidikan geopolimer berasaskan lumpur itu.

“Kami dimaklumkan pada masa ini, pihak berkuasa tempatan Surabaya hanya menyalurkan lumpur ini terus kepada sungai yang berdekatan yang terus ke laut menyebabkan berlaku pencemaran sungai dan laut yang teruk,” katanya.

Menurutnya, atas dasar rasa tanggungjawab sosial universiti, UniMAP mengambil inisiatif untuk membangunkan produk bahan binaan berasaskan lumpur itu dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Sivil PCU.

“Kedua pihak kini dalam proses mempatenkan hasil penyelidikan sebelum dibentangkan kepada pihak berwajib di Indonesia,” katanya.

Antara hasil penyelidikan ialah menjadikan lumpur itu sebagai bahan untuk pembuatan bata konkrit, agregat tiruan dan bahan binaan ringan yang mana semua hasil ini mempunyai sifat-sifat yang sama dengan bahan binaan biasa.

Mohd Mustaffa berkata LUSI terjadi berikutan kerja-kerja penggerudian gas dari perut bumi dan ada juga yang berpendapat kehadiran lumpur itu disebabkan kesan daripada gempa bumi yang kuat bermagnitud 6.3 di Yogyakarta pada 27 Mei 2006 iaitu dua hari sebelum lumpur itu muncul ke permukaan bumi.

Ada yang berkata, ia berpunca daripada penggerudian minyak yang dikatakan ditemui di perut bumi Sidoarjo dan ketika kerja-kerja penggerudian itu, letupan besar berlaku dan lumpur panas memancut dari bawah tanah dan tidak dapat dihentikan sehingga kini.

Kejadian itu menyebabkan 30,000 penduduk terpaksa berpindah kerana lumpur LUSI ini telah merebak seluas 770 hektar dengan kedalaman 20 meter yang menenggelamkan sekurang-kurangnya 16 buah kampung.

“Letusan LUSI ini masih berterusan sehingga kini dan ada pakar berkaitan meramalkan perut bumi itu akan meluahkan lumpur secara berterusan sehingga 25 tahun atau lebih. Justeru UniMAP berharap jalinan kerjasama dan kepakaran yang kami miliki mampu mengurangkan masalah ini,” katanya.

Mohd Mustaffa berharap LUSI yang menghantui para penduduk tempatan akan menyuburkan keakraban hubungan dua hala Malaysia-Indonesia melalui kerjasama penyelidikan itu. — Bernama