10,000 bakal berhimpun pada pesta Lun Bawang

0

JOM SOKONG: Robert (dua kanan) ketika mengadakan sidang media di sini semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Ramina, Angela, Yuhanis dan Petrus (kanan).

Pesta dari 31 Mei hingga 1 Jun peluang untuk promosi kebudayaan, hasil kraf kepada pelancong

MIRI: Dianggarkan seramai 10,000 orang masyarakat Lun Bawang akan berkampung di bandar Lawas untuk meraikan sambutan Irau Aco Lun Bawang atau Pesta Irau Aco Lun Bawang (PIALB) 2012 dari 31 Mei ini hingga 3 Jun depan.

Pesta ini yang merupakan anjuran Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak dan pejabat Residen Bahagian Limbang akan diadakan di Taman Awam Lawas, Lawas.

Menurut Pengerusi Pengelola, Robert Asut Braok, objektif utama pesta ialah memberi ruang dan peluang kepada masyarakat Lun bawang di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya serta rakan serumpun dari Kalimantan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Sabah untuk berhimpun sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara satu sama lain.

Selain itu, ia juga diadakan bertujuan untuk mempamerkan dan mempromosikan kebudayaan serta hasil-hasil kraf tangan masyarakat Lun Bawang bukan sahaja kepada kalangan rakyat tempatan tetapi juga pengunjung dan pelancong yang datang sepanjang pesta berlangsung.

“Penganjuran PIALB tahun ini agak istimewa kerana ia berlangsung serentak dengan sambutan Pesta Lawas dan Gawai Dayak selain merupakan sambutan Jubli Perak PLBS,” katanya sambil memberitahu pesta ini telah dimasukkan ke dalam kalendar tahunan Lembaga Pelancongan Negeri Sarawak.

Menurut beliau, pada penganjuran PIALB tahun lepas, hanya 6,000 hingga 7,000 orang kaum Lun Bawang berhimpun di bandar Lawas untuk sama-sama meraikan pesta tersebut.

“Jumlah ini agak sedikit kerana ia dianjurkan dalam keadaan tergesa-gesa iaitu sejurus selepas musim pilihan raya. Namun pada tahun ini, kita percaya jumlah yang hadir lebih ramai memandangkan pihak penganjur telah menyusun lebih banyak aktiviti menarik seperti sukan, permainan tradisi dan sebagainya,” ujar beliau pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Setiausaha Persatuan Yuhanis Rugu, Pengerusi Publisiti Petrus Abai, Angela Mikie selaku jawatankuasa exco pusat dan Ramina Tadam.

Manakala acara kemuncak pada pesta itu nanti, katanya, adalah pertandingan ‘Padan Liu Burung’ (Keling) dan ‘Ruran Ulung’ (Kumang) yang akan diadakan pada malam terakhir sambutan.

Majlis perasmian pesta ini yang akan diadakan pada 1 Jun dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

“Sehubungan itu, PLBS masih berusaha untuk mencari dana bagi membolehkan mereka menganjurkan lebih banyak aktiviti sempena pesta  itu nanti dan berharap ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan dengan ikhlas,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Robert, pihak penganjur turut mengalu-alukan penyertaan dari kalangan pelancong asing untuk mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti yang dianjurkan semasa pesta tersebut nanti.

Sementara itu, menurut beliau, satu majlis dialog bersama masyarakat Lun Bawang di Lawas akan diadakan pada 1 Jun iaitu selepas majlis perasmian dan diikuti majlis makan malam amal pada sebelah malamnya.

Majlis makan malam itu diadakan bertujuan untuk mengutip dana bagi membina bangunan persatuan di atas sebidang tanah seluas tujuh ekar yang telah diperuntukkan.

Pada majlis makan malam itu nanti, turut diadakan penyampaian insentif kepada anak-anak Lun Bawang yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM tahun lepas.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut berhubung beberapa aktiviti yang dianjurkan semasa pesta itu nanti, bolehlah menghubungi Robert menerusi talian 012-8713006, Edison Perry Benging (Sukan) – 013-8385614, Yuhanis  Rugu (Setiausaha) – 016-8163279, Dennis Sigar (012-8733380), Frederick Lalung Ngilo (Kebudayaan) dan – 019-8150387 dan  Ramina Tadam (017-8501234).