301 PTI ditahan dalam Ops Tanduk

0

KENINGAU: Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP) bagi Sabah dan Labuan telah memeriksa dan menangkap 301 rakyat asing dalam Ops Tanduk yang dilancarkan di daerah ini selama dua hari, berakhir kelmarin.

Ketua Penolong Setiausaha PPKP, Asisten Komisioner Abdul Aziz Alwee, berkata daripada jumlah itu, 252 ditangkap pada operasi Jumaat dan 51 orang lagi kelmarin.

Bercakap kepada media di pusat pemeriksaan dan penapisan di Dewan Masyarakat Bingkor, di sini kelmarin, beliau berkata, daripada 252 yang ditangkap pada Jumaat, 94 orang dibawa untuk dokumentasi di pusat berkenaan.

“Selepas tapisan dibuat, sejumlah 74 orang yang tidak memiliki dokumen atau memiliki dokumen palsu dihantar dan ditahan di Pusat Tahanan Sementera  (PTS) Papar pada Jumaat dengan menggunakan lori PPKP,” katanya.

Abdul Aziz berkata sementara 51 yang ditangkap dan ditahan di pusat pemeriksaan di Dewan Bingkor kelmarin masih menjalani proses tapisan.

Katanya,  operasi sepanjang dua hari itu dijalankan di sekitar bandar, kawasan setinggan dan semua tapak-tapak pembinaan termasuk pusat hiburan dan rumah-rumah sewa.

“Seramai 60 anggota terdiri PPKP, polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam operasi dua hari ini,” katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang memiliki dokumen yang sah dibebaskan dan mereka yang tidak memiliki sebarang dokumen atau memiliki dokumen palsu ditahan di PTS untuk tujuan penghantaran ke negara asal mereka.

Abdul Aziz memberitahu, rata-rata mereka yang ditahan adalah rakyat Indonesia dan Filipina dan warga negara lain.

“Operasi bertujuan ke arah pengusiran isu kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) di negeri ini akan dibuat secara berterusan di sektor perladangan, tapak pembinaan, bandar-bandar, rumah-rumah sewa, setinggan dan pusat-pusat hiburan,” katanya.

Beliau berkata operasi dijalankan oleh anggota PPKP dengan cara berhemah di mana kebajikan dan kesihatan orang-orang ditangkap turut diambilkira.

Malah, katanya, segala pembiayaan, termasuk makan minum dan pemeriksaan kesihatan tahanan turut ditanggung  selain kos pengangkutan semasa penghantaran balik ke negara asal mereka dari PTS.

“Saya juga meminta orang ramai termasuk pemimpin masyarakat di negeri ini termasuk Labuan agar dapat memberi kerjasama kepada PPKP dengan menyalurkan maklumat di atas kehadiran PTI di tempat mereka agar tindakan menangkap dapat dilakukan,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Aziz meminta orang ramai termasuk pemilik ladang, tapak pembinaan tidak melindungi dan mengaji PTI yang tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

“Melindungi dan menggaji PTI adalah satu kesalahan jenayah yang serius dan mereka yang berbuat demikian boleh diambil tindakan tegas,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang dua hari operasi itu berjalan, tidak ada perkara-perkara yang tidak diingin berlaku, semuanya berjalan baik dan lancar.