Mayat Dalam Tangki Air

0

Identiti belum dikenal pasti. Dipercayai sudah berada seminggu dalam tangki

TAWAU: Aduan penduduk mengenai bekalan air paip tercemar telah membawa kepada penemuan mayat lelaki dewasa di dalam sebuah tangki penyimpanan air di kawasam PPR Sri Titingan, di sini.

Mayat lelaki yang dianggarkan sudah berada kira-kira seminggu dalam tangki berkenaan, ditemui kira-kira jam 9 pagi kelmarin, ketika pemeriksaan dilakukan pada setiap tangki penyimpanan air di kawasan perumahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah, ACP Ibrahim Chin, ketika mengesahkan kejadian itu berkata mayat yang masih belum dikenal pasti identitinya itu dianggarkan berumur lingkungan 20-an.

“Siasatan awal mendapati tidak ada sebarang kecederaan pada badan mangsa atau kejadian jenayah dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, usaha mengeluarkan mayat daripada tangki oleh pihak berkuasa bomba dan polis menghadapi sedikit kesukaran kerana tangki penyimpanan itu letaknya pada kedudukan yang tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Datuk Ismail Mayakub, turut meninjau usaha yang dilakukan pihak berkuasa untuk mengeluarkan mayat dari tangki berkenaan.

Dalam pada itu, Tawfiq ketika ditemui menggesa penduduk taman perumahan berkenaan agar tidak bimbang kerana pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan masalah air tercemar yang disalurkan ke rumah mereka.

“Kita akan meminta jabatan berkaitan untuk memeriksa tahap pencemaran dalam tangki penyimpanan ini sebelum ia disalurkan kepada penduduk,” katanya.

Katanya, buat masa ini bekalan air dari tangki penyimpanan itu kini dihentikan buat sementara waktu dan sekiranya perlu pihaknya akan meminta Jabatan Air untuk membekalkan air ke rumah rumah penduduk.