IPK Sarawak rangkul Piala Pesuruhjaya Polis Sarawak 2012

0

JUARANYA: Pemain-pemain IPK Sarawak merakamkan kenangan bersama Law, Madang dan pegawai-pegawai kanan polis yang lain di Stadium Bintulu semalam.

BINTULU: Pasukan IPK Sarawak menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Pesuruhjaya Polis Sarawak 2012 setelah membelasah IPD Bintulu 4-0 pada perlawanan akhir di Stadium Bintulu di sini, semalam.

IPK Sarawak ternyata menguasai perlawanan sejak sepak mula lagi dengan melancarkan asakan demi asakan berbahaya ke kubu lawan.

Asakan serta penguasaan bola yang berterusan membolehkan IPK Sarawak menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama menerusi Mohd Hafizul Mat Sidek dan Mohd Hafiz Mohd Yusof.

IPD Bintulu cuba bangkit pada separuh masa kedua namun taktik bertahan mereka selain segenap posisi yang kurang berfungsi ternyata menyukarkan usaha mereka untuk mengancam pintu gol IPK Sarawak.

Sebaliknya IPK Sarawak membuktikan dominasi mereka apabila berjaya meledakkan dua lagi gol mudah menerusi Shahril Ridzwan dan sekali lagi menerusi Mohd Hafiz Mohd Yusof bagi memastikan kejuaraan benar-benar erat dalam genggaman.

Ketika perlawanan menghampiri minit-minit akhir, aksi kekasaran lebih banyak mewarnai kedua-dua pasukan. Ketegangan memuncak apabila dua pemain IPK Sarawak dan seorang IPD Bintulu diperintahkan keluar padang kerana berlaku pertelingkahan di antara ketiga-tiga pemain terbabit.

Kehilangan dua pemain sedikit sebanyak menjejaskan penguasaan IPK Sarawak di bahagian tengah namun kedudukan selesa mereka nyata tidak mampu diancam oleh IPD Bintulu sehingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, tempat ketiga disandang oleh IPD Kuching sementara IPD Kota Samarahan terpaksa berpuas hati di tangga keempat.

Penyerang IPK Sarawak, Mohd Hafiz Mohd Yusof dan Mohd Ridwan Abdul Malik (IPD Bintulu) berkongsi anugerah selaku penjaring terbanyak setelah kedua-dua pemain masing-masing menyumbat tujuh gol sepanjang pertandingan.

IPD Sarawak layak ke final setelah menewaskan IPD Samarahan 2-0 sememtara IPD Bintulu pula menjinakkan IPD Kuching 2-0.

Sebanyak 19 kontinjen mengambil bahagian dalam kejohanan enam hari itu.

Pasukan-pasukan terbabit ialah Pulapol Kuching, IPD Bintulu, IPD Kota Samarahan, IPD Baram, IPD Belaga, IPD Mukah, IPD Kuching, IPD Miri, IPD Sarikei, IPD Kapit, IPK Kuching, IPD Tatau, Marine, IPD Sri Aman, IPD Serian, IPD Meradong,  IPD Lubok Antu, IPD Sibu dan IPD Betong.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon. Hadir sama pada majlis itu termasuklah Ketua Polis Bintulu, Superintendent Madang Usat serta timbalannya, DSP Mohd Said Ibrahim.