Abang mati dipukul adik selepas berlaku pertengkaran kecil

3

TEMPAT KEJADIAN: David (dua kanan) bersama beberapa anggota polis lain menyiasat tempat kejadian. Kelihatan seorang anggota polis memegang kayu yang digunakan dalam serangan itu.

SIBU: Seorang lelaki berusia 38 tahun meninggal dunia akibat kecederaan kepala yang teruk selepas adiknya yang berusia 20 tahun menghentak belakang kepalanya dengan sebatang kayu sepanjang satu meter.

Freddy Clement meninggal dunia di Hospital Sibu petang semalam setelah otaknya gagal berfungsi.

Kejadian serangan itu berlaku sehari sebelum itu di kuarters pekerja kayu di tapak pembinaan di Jalan Wong King Huo apabila mereka dipercayai mengadakan sesi minum dari jam 2 hingga 4 petang.

Pertengkaran kecil telah menjurus kepada pergaduhan besar antara adik-beradik itu.

Seorang kontraktor menerangkan, si adik telah memulakan pergaduhan tersebut apabila dia mempersoalkan situasi kewangan semasa Freddy dan ketidakmampuannya untuk berkahwin.

Mereka bergaduh dari dalam kuarters hinggalah ke luar sebelum suspek menyerang abangnya dengan sebatang kayu.

Serangan pertama berjaya dihalang oleh rakan sekerja yang tinggal di bilik bersebelahan.

Akan tetapi suspek yang panas baran mengambil batang kayu yang lain lalu memukul belakang kepala Freddy.

Walaupun mengalami kecederaan, Freedy masih mampu berjalan dan duduk di atas tangga.

Kemudian, rakan sekerja Freddy telah membawanya ke hospital.

Pada malam itu, bapa kedua-dua adik-beradik itu telah bergegas ke Sibu dari Nibong Tada, Kanowit selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Penyerang itu telah ditangkap sejurus selepas bapa kepada tujuh orang itu membuat laporan polis pada waktu malam.

Freddy dan adik lelakinya bersama seorang lagi adik perempuannya hanya mula bekerja di tapak pembinaan itu sepuluh hari yang lalu.

Seorang lagi adik mereka dan isteri kepada penyerang itu tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal bersama di dalam kuarters terbabit.

Tapak pembinaan itu mempunyai tiga kuarters dan dihuni 20 pekerja.

Petang semalam, beberapa anggota polis termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sibu David Ajek dan ASP Yeoh Chun Shyan pergi ke tempat kejadian untuk menyiasat.

Mereka berjaya menjumpai kayu yang digunakan dalam serangan itu dan membawanya ke balai polis.