Angkara RM10, peniaga hilang pengelangan tangan

3

SANDAKAN: Seorang peniaga warga Pakistan kehilangan pergelangan tangan kanannya selepas ditetak oleh salah seorang perompak dalam kejadian di Padang BDC Batu 2 pada malam Ahad lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Fadzil Mohd Ali, berkata mangsa dikenali sebagai Momin Khan Musafar, 28, kini dalam keadaan stabil dan telahpun dibenarkan balik ke rumah setelah menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Ahad lepas, mangsa pulang berseorangan selepas menagih hutang di kawasan padang berkenaan, katanya.

Beliau berkata dua lelaki dipercayai pendatang tanpa izin yang bersenjatakan parang telah meminta duit dengan mangsa.

Mangsa telah memberikan RM10 kepada suspek, tetapi kedua-dua suspek itu enggan menerima duit berkenaan sebaliknya meminta dompet mangsa, katanya.

Fadzil berkata mangsa enggan menyerahkan dompetnya sebelum ditumbuk oleh salah seorang suspek sehingga mangsa terjatuh.

Salah seorang suspek lagi telah menghayun parang ke arah mangsa dan mangsa cuba menahan parang berkenaan, katanya.

Beliau berkata akibat dari kejadian berkenaan, mangsa mengalami luka di tapak tangan kanannya.

Kedua-dua suspek berkenaan berjaya melarikan diri bersama dompet mangsa berisi wang tunai RM1,400, katanya.

Fadzil berkata mangsa kemudian bertindak menghubungi rakannya untuk menghantarnya ke hospital bagi menerima rawatan.

Tangan kanan mangsa terpaksa dipotong di bahagian pergelangan bagi mengelak daripada dijangkiti kuman, katanya.

Beliau berkata pihaknya telah melancarkan gerakan mengesan kedua-dua suspek di sekitar daerah ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika samun bersenjata, katanya.