Jadikan masjid sebagai tempat timba ilmu dan eratkan perpaduan selain beribadah

0

SIBU: Masyarakat Islam di daerah Matu di sini disaran menjadikan institusi masjid sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan dan mengeratkan lagi perpaduan di kalangan ummah selain daripada dijadikan sebagai tempat untuk beribadah semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng Abu Seman Jahwie berkata, fungsi masjid menrangkumi bidang yang luas, oleh itu masyarakat Islam hendaklah menggunakan fungsi itu dengan sebaik-baiknya.

“Selain daripada menimba ilmu keagamaan, masjid juga boleh dijadikan tempat untuk bermesyuarat dan menganjurkan program yang dapat meningkatkan lagi perpaduan ummah,” ujar Abu Seman semasa berucap pada majlis kesyukuran sempena sambutan Hari Daerah Matu di Masjid Kampung Sekaan, Matu baru-baru ini.

Abu Seman yang juga setiausaha politik Ketua Menteri turut menggesa jawatankuasa masjid di daerah berkenaan memperbanyakkan program yang dapat menarik minat golongan belia supaya mereka lebih tertarik untuk mendekati rumah ibadah.

“Dengan itu (menarik minat golongan belia mendekati masjid), secara tidak langsung kita dapat melahirkan belia Islam yang berintelektual dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup mereka,” tegas beliau.

Katanya golongan belia merupakan pemimpin pelapis masa depan, mereka perlu digalak mencari ilmu pengetahuan dunia dan akhirat secara seimbang supaya mereka boleh memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negara.

“Golongan belia yang memiliki ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi yang seimbang akan mempunyai budaya berfikir yang positif, intelektual dan mampu menilai perkara-perkara yang baik dan buruk yang dapat mempengaruhi kehidupan mereka,” tambahnya.

Majlis kesyukuran yang merangkumi majlis tahlil dan bacaan surah Yassin dan sembayang berjemaah itu turut di hadiri Pegawai Daerah Matu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Daerah Matu Habari Bakar.