Kadar kemalangan babitkan pekerja turun 35 peratus dalam 11 tahun

0

BUTTERWORTH: Kadar kemalangan membabitkan pekerja di negara ini, sama ada kemalangan di tempat kerja mahupun ketika dalam perjalanan, menunjukkan penurunan 35 peratus bagi tempoh 11 tahun sejak tahun 2000.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang, Mohamad Anuar Embi berkata perbandingan dibuat berdasarkan penurunan kes iaitu daripada 95,024 pada tahun 2000 kepada 59,897 pada tahun lepas.

“Tetapi kita bimbang sekarang ini ‘commuting accident’ iaitu kemalangan yang berlaku dari rumah ke tempat kerja dan dari tempat kerja pulang ke rumah, yang berlaku di jalan raya telah meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Keempat, di sini semalam.

Katanya, statistik menunjukkan kemalangan maut melibatkan pekerja, baik ketika berulang-alik mahupun di tempat kerja meningkat iaitu sebanyak 1,254 dilaporkan pada 2011, berbanding 1,004 kes pada tahun 2000.

Sementara itu, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang Zainol Abu berkata bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, Pulau Pinang mencatatkan kadar kemalangan ulang-alik  kedua tertinggi di negara ini.

“Kadar kemalangan ulang-alik di negeri ini melebihi 55 peratus. Kalau ikut negeri, kita yang kedua tertinggi di Malaysia,” katanya menambah Selangor merekodkan kadar tertinggi diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sepanjang 2011, sebanyak RM24.7 juta telah dibelanjakan oleh PERKESO bagi membayar faedah kepada pekerja yang terlibat dengan kemalangan di tempat kerja di Pulau Pinang, berbanding RM23 juta pada  2010. — Bernama