Kadar penembusan Internet di Sadong Jaya masih kurang

0

KUCHING: Kadar penembusan internet di Sadong Jaya masih kurang terutama dari segi perkhidmatan WiFi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

Beliau berkata, perkhidmatan WiFi amat diperlukan penduduk kerana ada antara kampung tidak mendapat liputan jalur lebar kerana terletak di luar bandar.

“Saya sudah berjumpa dengan ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memohon WiFi di Sadong Jaya.

“Kebanyakan kawasan memang mendapat liputan jalur lebar namun WiFi hanya di empat lokasi atau lebih kurang 10 peratus,” katanya kepada Utusan Borneo selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-17 di sini, semalam.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa perkhidmatan WiFi tidak berkongsi infrastruktur sedia ada kerana menggunakan frekuensi satelit, justeru pihak bertanggungjawab perlu mempertimbangkan perkara itu.

“Ia amat perlu pada masa sekarang bagi memberi manfaat kepada penduduk terutama pelajar yang kebanyakannya dibekalkan dengan komputer riba,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aidel berkata, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bernilai RM54 juta sedang rancak dilaksanakan sekarang.

“Ia dijangka siap Februari tahun depan bagi menampung keperluan penduduk di Sadong Jaya dan Asajaya.

“Pelaksanaan projek ini juga mampu menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang dialami penduduk selama ini,” jelasnya.