KWSP galak pencarum semak penyata

0

Semakan penting untuk pastikan caruman dibayar dengan betul dan tepat pada masanya

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan kempen menerusi media untuk menggalakkan pencarum menyemak penyata kira-kira bagi memastikan simpanan mereka dalam keadaan teratur.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata kempen yang melibatkan penyiaran iklan menerusi radio dan televisyen itu, bermula semalam hingga 31 Mei depan.

“Kempen pengiklanan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KWSP untuk mendidik pencarum mengenai kepentingan melakukan penyemakan penyata kira-kira dan mengetahui status simpanan persaraan mereka daripada peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Nik Affendi berkata, pencarum perlu bertanggungjawab menyemak penyata kira-kira dan memastikan caruman KWSP dibayar dengan betul dan tepat pada masanya.

Sekiranya terdapat keraguan terhadap penyata tersebut, pencarum perlu segera mendapatkan penjelasan daripada majikan atau membuat laporan kepada KWSP, katanya.

Baru-baru ini, KWSP mengedarkan 6.81 juta penyata kira-kira untuk 2011 kepada semua pencarum dalam usaha untuk memaklumkan kepada pencarum mengenai status simpanan persaraan mereka, katanya.

“Semua penyata kira-kira dihantar kepada pencarum menerusi alamat kediaman seperti yang didaftarkan dengan KWSP. Pencarum yang berhasrat mengemaskini alamat boleh melakukannya menerusi i-Akaun menerusi laman web myEPF di www.kwsp.gov.my yang menyediakan kemudahan kepada pencarum untuk menyemak simpanan KWSP mereka pada bila-bila masa,” katanya.

Nik Affendi berkata pencarum juga boleh mengemas kini alamat mereka dengan mengisi borang KWSP 3 berserta salinan kad pengenalan dan menghantarnya ke cawangan KWSP berhampiran.

Beliau menasihati pencarum agar mengemaskini alamat kediaman mereka sekiranya berpindah bagi memastikan penyata tersebut tidak diketahui orang lain kerana maklumat dalam penyata itu adalah sulit.

Sebagai pilihan lain, katanya, pencarum juga boleh mencetak penyata kira-kira menerusi Kios Pintar KWSP (Kios KWSP) dengan menggunakan kad pengenalan (MyKad) dan pengesahan cap jari.

Kios KWSP terdapat di cawangan KWSP dan beberapa premis lain seperti di Institut Jantung Negara (IJN), pejabat Permodalan Nasional Berhad (PNB), Courts Mammoth Malaysia, Maybank, CIMB, AmBank dan beberapa bank lain yang terpilih, katanya.

Beliau berkata mulai Januari tahun ini, pencarum juga diberi pilihan untuk mencetak nama penama dalam penyata kira-kira tahunan KWSP yang dihantar setahun sekali.

“Pencarum boleh melakukannya dengan hanya mengisi Borang KWSP 4C bagi pencarum yang telah membuat penamaan manakala bagi penamaan baru, pencarum perlu mengisi Borang KWSP 4, katanya. — Bernama