Maut ditikam tiga beranak

0

Berpunca perselisihan faham ketika majlis perkahwinan, mangsa ditikam dengan lembing, parang dan sebilah bujak

SANDAKAN: Seorang lelaki mati ditikam oleh tiga beranak dalam satu pergaduhan di Kampung Pampang Batu 10, Jalan Sungai Batang, pada malam Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Fadzil Mohd Ali, berkata mangsa dikenali sabagai Mig Urung, 43, meninggal dunia di Hospital Duchess Of Kent, berikutan kecederaan parah pada badan akibat beberapa kesan tikaman.

Polis menerima panggilan dari pihak hospital pada 14 Mei, kira-kira jam 8 malam, mengatakan seorang lelaki yang ditikam telah meninggal dunia.

Bercakap kepada media di sini kelmarin, beliau berkata siasatan polis mendapati pada hari sama, kira-kira jam 6 petang, mangsa terlibat dalam pertengkaran dan pergaduhan di kampung berkenaan.

Mangsa bersama adiknya dan seorang rakan telah bergaduh dengan tiga lelaki yang merupakan anak beranak.

Fadzil berkata kejadian itu berlaku ekoran insiden yang berlarutan dari sebuah majlis perkahwinan di kampung yang sama pada 12 Mei lepas.

Setelah bertengkar, mangsa diserang dan ditikam dengan sebatang lembing, sebilah parang dan sebatang bujak oleh ketiga-tiga suspek, katanya.

Beliau menambah mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dada, kaki dan bahagian depan serta belakang badan telah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Polis berjaya menahan seorang bapa berumur 51 tahun bersama dua anak lelakinya berumur 19 dan 22 tahun pada hari sama, kira-kira jam 6.45 petang, katanya.

Selain itu, polis berjaya merampas sebilah parang berukuran 45cm, sebatang bujak 124cm, sebilah parang tanpa hulu 65cm, satu hulu parang diperbuat dari kayu 14cm dan sebatang lembing sepanjang 1.95cm.

Pihaknya masih mencari adik dan rakan mangsa untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.