Site Last Updated 7:18 pm, Thursday

Sentiasa ada saluran untuk usahawan dapat peluang perniagaan di SCORE

Posted on May 15, 2012, Tuesday

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais menafikan dakwaan mengatakan tiada saluran yang lebih sesuai untuk usahawan tempatan mendapat peluang perniagaan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau berkata sesiapa sahaja boleh terlibat aktif dalam pembangunan SCORE dengan syarat ia dibuat menerusi hubungan baik dengan agensi-agensi bertanggungjawab seperti Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Unit Perancangan Negeri (SPU) dan industri.

“Isunya di sini ialah mereka perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada agensi-agensi yang betul terutama kesan-kesan limpahan dan peluang pekerjaan mahupun perniagaan ditawarkan oleh SCORE mahupun industri yang boleh disertai usahawan Dayak mahupun Melayu.

“Anda tidak boleh mengharapkan peluang pekerjaan atau perniagaan datang sebaliknya ia perlu dicari,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sarawak Ke-17 di Kompleks DUN, di sini semalam.

Naroden berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar semalam memetik ahli Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) sebagai berkata mereka tidak mempunyai saluaran yang sesuai untuk terlibat dalam pembangunan SCORE.

Menurutnya banyak peluang perniagaan dan pekerjaan sampingan yang wujud kesan daripada pembangunan SCORE antaranya projek pembinaan jalan raya di bawah kerajaan negeri dan kerja-kerja penyelenggaraan mesin, membekal alat ganti, kawalan keselamatan dan pengangkutan yang boleh direbut usahawan tempatan.

“Sesiapa sahaja bukan sahaja DCCI, perlu rapat dengan agensi-agensi kerajaan ini sama ada untuk mendapatkan maklumat diperlukan berhubung pembangunan dalam kawasan SCORE.

“Malah usahawan tempatan harus rapat dengan industri itu sendiri untuk mengetahui kesan sampingan dan peluang pekerja lain yang boleh disertai,” katanya yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber.

Pada satu majlis makan malam di sini Sabtu lalu, ahli DCCI menyuarakan kebimbangan mereka berhubung peluang-peluang perniagaan di SCORE.

Malah Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi yang hadir sama pada majlis itu mencadangkan kepada RECODA agar menubuhkan unit khas mengendalikan perniagaan berskala kecil di kawasan SCORE.

Nanta berkata perkara itu menjadi kebimbangan utama ahli DCCI memandangkan majoriti  daripada mereka terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan dan berminat terlibat dalam pembangunan SCORE.

Sementara itu, Presiden DCCI Tan Sri Datuk Amar Leo Moggie berkata dewan perdagangan itu mencari peluang-peluang perniagaan di SCORE seperti logistik, katering, pengangkutan dan sebagainya.

“Bagi kami di DCCI, prospek menceburi sektor perniagaan yang berskala besar sangat sedikit tetapi masih banyak aktiviti sampingan hasil pembangunan industri di SCORE seperti perkhidmatan logistik, katering, pengangkutan dan sebagainya. Inilah peluang perniagaan yang ahli DCCI mahu rebut,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.