Tiada paksaan untuk pengusaha restoran dapatkan sijil halal

0

KUCHING: Tidak ada paksaan untuk pengusaha restoran mendapatkan sijil halal namun jika kebanyakan pelanggan terdiri daripada umat Islam mereka perlu memohon dengan segera.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, lebih baik pengusaha memohon kerana ia mampu melonjakkan perniagaan mereka.

“Kalau tidak memohon kita tidak paksa namun adalah lebih baik mereka memohon kerana ia dapat meningkatkan perniagaan.

“Permohonan untuk mendapatkan sijil halal adalah secara sukarela,” katanya kepada Utusan Borneo selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-17 di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihati umat Islam supaya tidak pergi ke restoran yang tidak mempunyai sijil halal.

“Kalau tidak ada sijil halal mereka (umat Islam) tidak perlu pergi.

“Kita perlu berwaspada dengan setiap premis baharu terutama restoran francais,” ujarnya.

Menurutnya, pada tahun ini Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) lebih menumpukan aspek memberi pendidikan dan nasihat kepada pemilik premis.

“Sekiranya mereka terus berbuat demikian (tidak menggunakan sijil halal yang sah) maka tindakan akan diambil,” jelasnya.