BNBBC ratah pasukan media

0

KUCHING: Pasukan Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak (BNBBC) membelasah pasukan Media dengan jaringan 11-1 pada perlawanan persahabatan futsal yang diadakan di Arena Sukan semalam.

Jaringan-jaringan dilakukan oleh Pengerusi BNBBC Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Haji Saidol, ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan, ADUN Lambir Ripin Lamat, ADUN Demak Laut Dr Hazland Hipni dan ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

Manakala jaringan tunggal pasukan media dilakukan oleh Amrizan Madian yang mewakili Agensi Berita Nasional (Bernama).

“Ini merupakan perlawanan persahabatan di antara BNBBC Sarawak dengan pihak media dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara ahli-ahli yang berhormat dengan pihak wartawan,” jelas Abdullah.

“Melalui perlawanan ini juga, kita dapat melihat wakil-wakil rakyat kita sihat kerana mampu bermain dengan cergas dan aktif.

“Selain itu, ia menunjukkan hubungan di antara kedua-dua pihak (wakil rakyat dan pihak media) tidak terbatas melalui program-program rasmi sahaja kerana apa yang terjalin lebih kepada rakan,” tambah Abdullah lagi.

Beliau turut menambah pada masa akan datang, pelbagai program-program sukan akan diadakan bersama-sama dengan rakan-rakan media yang lain di seluruh negeri Sarawak.

Pasukan media diwakili oleh wartawan dan jurugambar daripada pelbagai organisasi akhbar di Sarawak.