Guru sentiasa dipandang mulia

0

MIRI: Guru merupakan antara golongan yang sentiasa dihormati dan dipandang mulia sepanjang zaman.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang menggambarkan bahawa golongan berkenaan mesti dihargai kerana jasa yang ditaburkan kepada masyarakat.

“Setiap insan yang berjaya di dunia ini sebenarnya hasil daripada didikan seorang yang bergelar guru,” katanya ketika penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada 42 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengurusan Sekolah kawasan Sibuti di pejabatnya di Piasau semalam.

Menurutnya, ini kerana kejayaan dicapai setiap insan  berkat keikhlasan seorang guru mendidik anak bangsa dengan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

“Tiada apa yang dapat dibandingkan dengan jasa seorang guru, hanya terima kasih yang dapat kita ucapkan,” jelasnya.

Kata beliau, seseorang guru pada masa sama harus menjadi ikon dan teladan baik  kepada masyarakat secara amnya dan para pelajar khasnya.

“Tanggungjawab sebagai seorang guru amatlah berat kerana semuanya bergantung kepada mereka,” kata Ahmad Lai.

Beliau juga sedar bahawa para guru sentiasa memikul tanggungjawab yang berat dalam usaha mendidik pelajar lebih-lebih lagi dalam mengharungi arus globalisasi.

Perkembangan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga sentiasa memerlukan golongan berkenaan melipatgandakan usaha demi membina negara bangsa yang berilmu, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri.

Ini kerana pelbagai ancaman keamanan sering wujud sama ada dalam atau luar negara dan berharap para pendidik tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai cubaan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Sebanyak 42 PIBG dan Lembaga Pengurusan Sekolah di kawasan Sibuti menerima MRP berjumlah RM125,000 pada majlis berkenaan.