Site Last Updated 12:41 am, Thursday

Jangan bandingkan kadar kemalangan di Malaysia dengan negara lain: Kong

Posted on May 21, 2012, Monday

PELABUHAN KLANG: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata isu kemalangan jalan raya di negara ini tidak harus dibandingkan dengan sesetengah negara, kerana ada negara lain yang mencatatkan kadar jauh lebih tinggi.

“Negara seperti China dan India, setiap tahun lebih daripada 100,000 orang maut di atas jalan raya, manakala Amerika Syarikat dan Indonesia setiap tahun lebih daripada 33,000 rakyatnya maut akibat kemalangan jalan raya.

“Jadi, kemalangan bukan hanya terhad di negara kita sahaja. Walaupun ada pihak selalu kata kadar kemalangan di negara kita tinggi tetapi kemalanganberlaku di mana-mana sahaja,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Kong berkata secara keseluruhan, lebih 1.3 juta pengguna kenderaan di seluruh dunia maut akibat nahas jalan raya setiap tahun.

Beliau sebelum itu melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pandamaran A, di sini.

Mengenai kadar kemalangan maut di negara ini, Kong berkata pada 2011, seramai 6,877 pengguna kenderaan di negara ini mati akibat nahas jalan raya dan 60 peratus daripadanya adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau berkata, kumpulan itu juga merupakan bilangan paling besar terlibat dalam kemalangan jalan raya di Malaysia.

“Di mana-mana negara di seluruh dunia penunggang motosikal merupakan penyumbang terbesar kepada kemalangan. Seperti di Perancis, hanya dua peratus kenderaan adalah motosikal tetapi ia menyumbang 30 peratus kemalangan maut di negara itu.

“Di negara kita ada kira-kira 40 peratus penunggang motosikal dan ia menyumbang lebih daripada 60 peratus kemalangan maut di negara kita,” katanya.

Justeru, Kong berkata sokongan semua pihak diperlukan dalam membantu usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini, khususnya yang melibatkan penunggang motosikal.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya termasuk menganjurkan program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah rendah sejak beberapa tahun lepas.

“Untuk tahun ini, program yang sama akan dimulakan di peringkat sekolah menengah dan ini sedikit sebanyak boleh menimbulkan kesedaran di kalangan anak muda,” katanya. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

3

13

Updated 08:39 AM, 30 July

Print Friendly