Jangan sabotaj parti jika tidak tersenarai: Ronald

0

BELURAN: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee mengingatkan para pemimpin Barisan Nasional (BN) disini agar tidak sabotaj parti sekiranya tidak tersenarai sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita sewajarnya bersikap terbuka dan menerima segala keputusan berkenaan yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN,“ katanya.

Beliau berkata nasihat mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlulah kita guna bersama dan diambil iktibar kepada semua ahli-ahli Umno dan BN seluruh negara.

“Yang penting bagi kita adalah kemenangan parti BN,“ katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Cawangan-Cawangan Umno Bahagian Umno Beluran yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr.Haji Mohd Puad Zarkashi di Dewan Serbaguna Pekan Beluran, pagi Isnin.

Beliau sekali lagi mengingatkan kepada semua ahli agar menolak elemen menyeleweng dengan mensabotaj calon BN yang akan bertanding kelak.

Ini kerana katanya, hanya BN sahaja satu-satunya parti yang mampu memartabatkan hak rakyat dalam membawa pembangunan holistik secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Ronald yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat turut berpesan kepada rakyat agar jangan berpaling tadah kepada pihak pembangkang sekiranya anda tidak tersenarai sebagai penerima sesuatu bantuan yang disalurkan kerajaan.

Beliau berkata sebaliknya ahli Umno dan BN yang tidak tersenarai sebagai penerima sesuatu bantuan perlu memikirkan semula bantuan yang pernah disalurkan kerajaan sebelum ini semata-mata untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar.

Katanya, pelbagai bantuan telah disalurkan kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan pendidikan, elaun nelayan, elaun MPOB kepada pengusaha kecil kelapa sawit dan 1Azam.

Ronald turut menggesa kepada semua ahli Umno agar memberi sokongan penuh kepada calon BN yang dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Perkara itu penting bagi memastikan BN dapat mengekalkan kemenangan pada setiap kerusi yang ditandingi khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi kubu kuat BN,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Umno Bahagian Beluran, Datuk James Ratib; Timbalan Ketua Umno Bahagian Beluran Aspah, Abdullah Sani; Naib Ketua Umno Bahagian Beluran, Mahmud Awang Hussin; Ketua Wanita Umno Bahagian Beluran, Dayang Endang Datu Asibi, Ketua Puteri Umno Bahagian Beluran, Julie Sabran dan para pemimpin kawasan berkenaan.