Pembangunan terancang demi kelangsungan alam sekitar

0

SADDI merasmikan Program Menanam Semula Pokok di Sungai Pin, kelmarin.


KINABATANGAN: Pembangunan terancang yang menitikberatkan alam sekitar dan mengambil kira kesan pembangunan kepada alam sekitar perlu diamalkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman.

Katanya, penekanan yang diberikan kepada pemeliharaan alam sekitar tidak bererti kita tidak boleh meneruskan projek pembangunan dan begitu juga sebaliknya.

“Kawasan hutan menjadi tarikan pelancong luar negara yang sangat berminat untuk menikmati kehijauan dan keceriaan hidupan liar. Ini juga merupakan antara sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.

“Sekiranya kawasan ini dibangunkan ia akan memusnahkan khazanah hutan kita selain bilangan pelancong asing juga semakin menurun. Justeru, saya berharap dalam kita melaksanakan projek-projek pembangunan, alam persekitaran jangan diabaikan,” katanya ketika melancarkan Program Menanam Semula Pokok di Sungai Pin dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Haji Othman Walat berkata tanpa mengekalkan kawasan sanktuari hidupan liar, industri pelancongan di negeri ini akan hilang secara beransur-ansur dan seterusnya menjejaskan kehidupan dan mata pencarian penduduk kampung.

Oleh itu, pihaknya memerlukan sokongan penuh masyarakat setempat untuk mengekalkan tempat perlindungan hidupan liar di sepanjang Sungai Kinabatangan.

Pada 1999, Jemaah Menteri meluluskan kawasan Sungai Pin dengan keluasan kira-kira 6,197 hektar diserahkan kepada Kumpulan Sawit Kinabalu untuk dibangunkan sebagai kawasan hidupan liar.

Mereka kemudian menandatangani satu memorandum persefahaman selama 10 tahun pada 2008 dengan Pertubuhan Hidupan Liar (WWF) untuk menjadikan sepanjang muara sungai Kinabatangan hingga Tanjung Bulat sebagai ‘koridor untuk hidupan liar’.
Kawasan itu mempunyai 16 spesies binatang liar termasuk orang utan, monyet proboscis, badak dan 57 spesies burung pelbagai jenis. Sebahagian hidupan liar di kawasan itu dikategorikan sebagai spesies dilindungi dan terancam di bawah Enakmen Hidupan Liar 1997.