Enam suspek kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan ditahan

0

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Botak yang dipercayai terlibat dengan pelbagai kes pecah rumah sekitar ibu negeri dengan tertangkapnya enam suspek, termasuk seorang warga asing.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Superintendan M.Chandra, berkata kesemua suspek dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di Taman Harmoni, Inanam pada 20 April lepas.

Katanya, mangsa dipercayai kerugian lebih RM130,000 akibat kehilangan pelbagai barangan berharga termasuk kereta Toyota Vios dan Perodua Alza yang dilarikan suspek dalam kejadian itu.

Berdasarkan intipan disusuli siasatan berterusan, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Cenderamata, Likas dan berjaya menahan enam lelaki yang difahamkan terlibat dalam kes berkenaan.

“Hasil siasatan kita telah menemui semula kereta Perodua Alza milik mangsa di sebuah lokasi berhampiran Country Heights, Penampang sementara baki kereta yang dicuri masih lagi dalam siasatan.

“Berdasarkan modus operandi mereka, suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa sebelum mengambil kunci lalu melarikan kenderaan mangsa.

“Dalam kejadian itu juga, kita difahamkan suspek mensasarkan rumah itu ekoran mangsa sekeluarga sedang bercuti di Pulau Pinang,” katanya di sini kelmarin.

Chandra berkata geng berkenaan didalangi seorang lelaki dikenali sebagai ‘Botak’ dan polis beranggapan telah menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di sekitar ibu negeri termasuk satu di Sandakan dengan tertangkapnya kesemua suspek.

“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 35 tahun itu kini ditahan reman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Chandra menjelaskan hasil ketangkasan anggota polis telah berjaya mematahkan cubaan melarikan kenderaan milik seorang guru wanita berusia 41 tahun, dalam satu kejadian di Batu 7, Inanam pada 15 Mei lalu.

Katanya dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, dua anggota peronda MPV terserempak sebuah kereta Kancil yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan, lalu melakukan pemeriksaan.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, seorang wanita menghampiri dan memaklumkan ketiga-tiga lelaki itu telah melakukan kekerasan terhadapnya sebelum melarikan kunci kereta dan telefon bimbit.

“Kesemua suspek yang merupakan lelaki tempatan dan berusia antara 19 hingga 25 tahun itu kemudiannya ditahan serta dibawa ke balai polis,” katanya.