Cuaca panas tidak jejas kehadiran pelancong: Talib

0

KUCHING: Cuaca panas yang melanda beberapa bandar utama negeri ini tidak menjejaskan kehadiran pelancong domestik dan asing, kata Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip.

Beliau berkata, memang setiap perubahan ada memberi impak kepada kehadiran pelancong, namun cuaca panas tidak memberi kesan negatif.

“Walaupun panas, sekurang-kurangnya berlaku hujan pada se-belah petang. Bagi saya, cuaca panas yang dikatakan melebihi 40 darjah Celsius tidak memberi kesan ne- gatif kepada kehadiran pelancong,” katanya.

Beliau berkata ketika diminta mengulas mengenai kesan kehadiran pelancong disebabkan cuaca panas melebih 40 darjah Celsius yang melanda Kuching dan beberapa bandar lain negeri ini sehingga September depan.

Terdahulu, Talib merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak di Kampung Sungai Bedil Besar di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga pertengahan tahun ini, kehadiran pelancong ke negeri ini meningkat 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Saya rasa pelancong yang datang ke Sarawak sudah hampir sejuta iaitu peningkatan 20 peratus,” ujarnya.

Talib menjelaskan, pada tahun lepas seramai 3.8 juta pelancong berkunjung ke Sarawak dengan peningkatan 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kita melihat kehadiran pelancong ke negeri ini menunjukkan trend positif dengan peningkatan berlaku pada setiap tahun.

“Pelancong asing sudah kenal dan tahu Sarawak menyebabkan mereka datang beramai-ramai ke negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, produk kampung atau makanan tempatan yang berpotensi serta mempunyai keunikan akan dipasarkan di hotel ternama.

“Seperti sebelum ini, kita sudah mempernalkan cendol buatan Kampung Sungai Bedil di hotel.

“Kita mahu mahu pada masa akan datang lebih banyak makanan tempatan dapat dipasarkan di hotel untuk menjadi tarikan pelancong,” kata Talib.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak Dirwanan Azool dan Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Sungai Bedil Besar Ahmad Mansor.