DUN lama akan ditukar jadi struktur kesenian

0

KUCHING: Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) lama bakal ditukar menjadi struktur kesenian dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memberitahu, bangunan DUN lama akan menjalani transformasi bersesuaian setelah modul yang sesuai ditemui di rantau ini bagi diadaptasi kepada struktur tersebut.

“Kerajaan Sarawak memutuskan agar bangunan DUN lama yang merupakan bangunan bersejarah ditukar menjadi struktur kesenian untuk mempamerkan seni persembahan termasuk galeri seni yang amat canggih.

“Saya rasa ia boleh siap dalam jangka masa lima tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan ‘An Agile Beauty’ Alumni Akademi Nanyang dan Seni Halus (NAFA) di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan memberitahu, setelah peringkat perancangan selesai nanti, kertas cadangan itu akan di- kemukakan kepada Kementerian Pembangunan Sosial bagi penentuan bajet.

Antara pengubahsuaian yang dirancang ialah dewan santapan yang mempunyai pentas automatik, se-perti di Istana Budaya, katanya.

“Kita juga amat menitikberatkan soal pencahayaan, dan sistem bunyi agar bersesuaian… ia tidak semudah itu,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari turut mengalu-alukan jalinan kerjasama antara NAFA di Singapura ke Sara-wak kerana ia bakal mengangkat nama Sarawak ke tahap lebih tinggi lagi dengan pameran kebudayaan di negeri ini menerusi seni tersebut.