Team Boss bukti kehebatan juarai Piala Golf EOX 2012

0

KOTA SAMARAHAN: Team Boss yang membariskan pemain-pemain golf berpengalaman ternyata unggul apabila ditabalkan juara kejohanan golf Piala EOX 2012 di Kelab Golf Resort Sarawak, di sini kelmarin (Ahad).

Pada perlawanan akhir, Team Boss bersaing sengit dengan pencabar hebat mereka iaitu pasukan Hakka Golf Association (HGA) yang muncul naib juara.

Dalam saingan akhir, Team Boss terpaksa melalui tiga lubang ‘play-off’ untuk memenangi kejuaraan.

“Kami terpaksa melalui play-off untuk menang tetapi pasukan HGA memang lawan yang amat sengit,” demikian kata pengurus pasukannya, Ismawi Muhammad.