12 negara pasarkan barangan buatan Malaysia

0

KUCHING: Sebanyak 12 negara termasuk Eropah kini memasarkan barangan buatan Malaysia menerusi jualan di pasar raya besar (hypermarket) Malaysia di negara terbabit.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata antara negara yang memasarkan barangan Malaysia termasuk China, Indonesia, Singapura, Hong Kong, Jepun, Turki, United Kingdom dan beberapa negara Eropah lain.

Katanya, barang tempatan yang dipasarkan ke luar negara itu adalah daripada pengusaha industri kecil sederhana (IKS) termasuk barang dari Sarawak.

“Kita sekarang mempunyai 159 hypermarket Malaysia yang ber- operasi di luar negara dengan penjualan sekitar 50,000 jenis produk tempatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga dan Produk Malaysia Cita Rasa Kita (PMCK) di sini semalam.

Menurut Rohani antara hypermarket yang memasarkan barangan tempatan ke luar negara adalah Giant, Carrefour, Jusco, Tesco dan AEON.

Beliau menarik perhatian bahawa barangan tempatan yang dipasarkan di luar negara semestinya berkualiti tinggi dan mampu menembusi pasaran global.

“Selain pihak kementerian, bebe-rapa agensi seperti Lembaga Promosi Perdagangan Malaysia (MATRADE) turut membantu IKS tempatan mempromosikan produk-produk mereka di luar negara,” kata-nya.

Justeru katanya, para peniaga IKS tempatan diharapkan dapat meningkatkan kualiti produk mereka untuk dipasarkan ke luar negara menerusi hypermarket-hypermarket terbabit.

“Kita amat yakin produk-produk tempatan yang berkualiti tinggi mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.