Teknologi, inovasi galak belajar BI

0

Pendidik harus guna pendekatan baharu selari peredaran zaman: Khair

KUCHING: Guru, pendidik, pereka kurikulum dan pembuat keputusan perlu memberi keutamaan dengan menggunakan teknologi dan inovasi terkini dalam bilik darjah bagi membantu memberi motivasi kepada pelajar belajar Bahasa Inggeris (BI).

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, para guru kini tidak lagi harus menggunakan pendekatan yang sama seperti ketika dahulu memandangkan kini pelajar atau generasi baharu merupakan individu yang arif dalam teknologi terkini.

“Dari pemerhatian saya, kini tidak ada lagi generasi yang hanya duduk pasif dan memberi perhatian kepada apa yang guru nyatakan dan menulis di papan tulis. Mereka adalah generasi yang mindanya diprogram oleh teknologi untuk aktif serta secara visual.

“Saya percaya bahawa kita kini perlu memikirkan dengan serius tentang langkah untuk mengajar pelajar supaya mampu menampung gaya dan sentuhan pembelajaran visual mereka,” katanya berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) Ke-21 di sini, semalam.

Khair berkata, para guru juga perlu mengubah sikap mereka yang sering kali sentiasa mengekalkan kaedah pembelajaran tanpa pernah menukar gaya atau langkah dalam kerja mereka.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan individu sentiasa gembira dan kekal dengan melakukan kerja itu tanpa mengubah cara-cara yang digunakan.

“Kita sering kali bersikap ‘kita sentiasa melakukan kerja ini, ia berkesan dan akan terus berkesan,’ bagaimanapun sikap sedemikian tidak meng-ambil kira pelajar atau murid yang kita ajar.

“Apa yang kita telah lakukan pada masa lalu, mungkin tidak sesuai untuk kita gunakan bersama generasi muda masa kini dan sebab itu kita perlu meneliti pendekatan dan kaedah baharu dalam mengajar,” tegasnya.

Khair percaya dengan pelbagai perubahan teknologi komunikasi ini ia mampu memberi impak kepada penggunaan bahasa termasuk BI, di mana teknologi baharu bermakna perkataan baharu turut dibentuk.

Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada para pemikir dan pengamal Pendidikan BI berkumpul bersama untuk berbincang, bertukar pendapat, berdebat serta berkongsi mengenai kebimbangan, isu, masalah, penyelesaian dan cadangan bagi memartabatkan Guru Pendidikan BI (ELT) ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Presiden MELTA Profesor Madya Dr Ganakumaran Subramaniam dalam ucapannya berkata, MELTA berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan dengan serius bagi menghubungkan pakar ELT di Malaysia bersama organisasi bagi tujuan intelektual, kepakaran serta sokongan.

“Ini bagi memastikan perkembangan pertumbuhan berterusan dalam keupayaan dan pengetahuan pendidikan negara melalui penyelidikan berterusan dalam pengetahuan, pembangunan dan teknologi serta perkongsian strategik,” tegas beliau.

Gunakumaran berkata, bagi memenuhi perminta-an baharu, profesion ELT bukan sahaja perlu terus membangunkan pengetahuan profesional, kemahiran serta penghakiman tetapi memperoleh, mengemaskini dan mengasah kemahiran pedagogi (pedagogical) yang berkesan.

Persidangan yang bertemakan ‘Reframing English Language Education: New Enviroments, New Needs, New Solutions’ disertai kira-kira 350 orang peserta.