Ada pihak lempar fitnah: Masir

0

Ahli Parlimen Sri Aman beharap rakyat tidak mudah terpengaruh

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat berharap rakyat tidak mudah percaya dengan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan tertentu terhadap dirinya di sekitar kawasan Parlimen Sri Aman sebelum ini.

“Fitnah itu bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan saya. Paling penting ialah saya mahu semua rakyat (di Sri Aman) tahu bahawa saya masih lagi menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Sri Aman menjelang PRU13 (Pilihan Raya Umum Ke-13) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2012 anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman yang diadakan di Rumah Enchan, Marau, Pantu kelmarin.

Beliau turut menasihatkan rakyat agar tidak menggadaikan masa depan dan pembangunan hidup mereka dengan menyokong pihak pembangkang atau calon Bebas pada PRU13 kelak.

Menurutnya, sokongan rakyat amat penting agar wakil rakyat BN dapat meneruskan pelan pembangunan kerajaan di kawasan pentadbiran masing-masing di negara ini.

Beliau berkata, setiap kali menjelang pilihan raya, parti pembangkang atau kumpulan tertentu akan hadir menemui rakyat untuk mengutarakan pelbagai isu demi mendapatkan sokongan politik daripada rakyat.

“Saya berharap agar rakyat tidak mudah terperangkap dengan isu yang diutarakan oleh kumpulan ini ataupun parti pembangkang memandangkan ia mempunyai hubung kait dengan kepentingan mereka dan bukannya rakyat,” katanya.

Turut hadir Pegawai Penerangan JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, Penghulu Entika Senan, Kapitan Lee Pin Jin, ketua-ketua kaum dan rakyat dari sekitar kawasan Pantu.