Keperluan pendidikan khas sentiasa dititikberatkan: Muhyiddin

0

SIBU: Kementerian Pelajaran sentiasa komited dalam memenuhi keperluan pendidikan khas kanak-kanak dengan memperluaskan perkhidmatan ke peringkat prasekolah dan memainkan peranan pen-ting dalam mengenal pasti dan mempersiapkan mereka untuk hadir ke sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru-guru pendidikan khas memerlukan kesabaran yang tinggi ketika melayan kerenah kanak-kanak istimewa dalam persekitaran kelas dan badan bukan kerajaan (NGO) turut berperanan penting menerusi tanggungjawab sokongan.

“Majoriti kanak-kanak yang mengalami masalah autisme, hiperaktif dan disleksia mempunyai tahap IQ yang normal dan kebanyakan me-reka dapat diajar dengan sistem pembelajaran utama dengan bantuan sokongan lain.

“Dengan jalinan kerjasama antara Kementerian Pelajaran dengan NGO telah memberikan satu pengalaman yang penting dan bermakna dalam pendidikan khas kanak-kanak,” jelasnya.

Muhyiddin berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengarah Baha- gian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Datuk Mazlan Mohamad ketika menyem- purnakan Majlis Penutupan Per- sidangan Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-kanak (NECIC), semalam.

Hadir sama Presiden Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-kanak Datuk Dr Amar Singh, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengajur NECIC Datuk Kapitan Janet Lau dan Kapitan Wong Hie Ching dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak Noriah Ahmad.

Muhyiddin berkata, masalah kesukaran pembelajaran menjadi cabaran besar dalam pendidikan khas kanak-kanak dengan statistik 10 hingga 15 peratus kanak-kanak istimewa mengalami masalah pembelajaran seperti autisme, hiperaktif, sindrom Down dan disleksia.

“Malah, dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami keupayaan fizikal turut memerlukan pendidikan khas sebagai komponen penting sokongan yang diperlukan mereka dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut berharap ibu bapa memberi peluang sama rata kepada anak-anak agar dapat memaksimumkan potensi mereka ke satu tahap kejayaan yang boleh dibanggakan.

“Kadang kala, orang kurang upaya (OKU) terus kekal OKU kerana mereka tidak diberikan peluang yang sama adil dan kemudahan fasiliti seperti pengangkutan, pendidikan yang pekerjaan seperti orang normal,” ujar beliau.

Ujar beliau, sudah tiba masanya untuk merealisasikan impian kanak-kanak istimewa sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia dan menyatupadukan kanak-kanak istimewa tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin memberitahu Kementerian Pelajaran telah menerima Memorandum Pendidikan Inklusif Sebagai Polisi Kebangsaan untuk Kanak-kanak Berkeperluan Khas yang diketuai oleh Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-kanak.

“Pendidikan khas awal kanak-kanak telah menunjukkan kemajuan dan banyak perubahan sejak beberapa tahun yang lepas. Saya mengucapkan taniah dan syabas atas sumbangan idea, cadangan dan komen yang dilakukan untuk menjayakan memorandum ini,” jelasnya.

Seramai kira-kira 550 peserta dari Malaysia, United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei dan Indonesia melibatkan ibu bapa, petugas pendidikan dan kesihatan dan sukarelawan menghadiri persidangan tiga hari itu.