Perogol licik merogol isteri orang ketika isterinya memasak di dapur

6

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam telah menolak pengakuan salah seorang warga Indonesia atas tuduhan melakukan jenayah rogol.

Hakim Indera Ayub telah menolak pengakuan salah Darson Sine, 32, kerana keterangan tertuduh yang bercanggah dengan fakta kes.

Darson mendakwa mangsa tidak dipaksa untuk melakukan hubungan seks dan mangsa turut meminta wang daripadanya.

Pada 26 Mei 2012, tertuduh disyaki telah merogol seorang wanita berusia 20 tahun di biliknya di Rumah Pekerja Ladang Kenaban, Shin Yang, Long Singu, Belaga.

Sebelum kejadian, mangsa telah masuk ke dalam bilik Darson sekitar jam 9 malam untuk mencari suaminya.

Semasa berada di dalam bilik berkenaan isteri tertuduh, Yanti Nabuasa telah keluar dari bilik itu ke dapur untuk membancuh kopi atas arahan Darson.

Semasa ketiadaan isterinya, tertuduh telah bertindak memegang paha dan tangan mangsa namun tidak membuat apa-apa yang menggusarkan mangsa.

Sekembalinya Yanti ke bilik itu dengan membawa air kopi, Yanti sekali lagi diarahkan oleh tertuduh ke dapur untuk memasak.

Ketika itu, tertuduh telah bertindak sekali lagi memegang paha dan tangan mangsa sebelum membuka seluar dan seluar dalam mangsa dan kemudiannya merogolnya lebih kurang selama 10 minit.

Tertuduh juga bertindak menutup mulut mangsa untuk mengelak dia daripada menjerit serta mengugut untuk membunuh mangsa.

Selesai merogol mangsa, tertuduh mengeluarkan air maninya di paha mangsa dan seterusnya mengelapnya dengan sehelai kain berwarna hijau milik tertuduh.

Ketika sedang memakaikan semula seluar mangsa, Yanti (isteri tertuduh) telah masuk ke dalam bilik dan telah melihat adegan suaminya itu.

Yanti telah bertindak memukul tertuduh dan berlari keluar dari bilik berkenaan.

Selesai memakai seluar, tertuduh sekali lagi mengingatkan mangsa agar tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu.

Setelah keluar dari bilik itu, mangsa terus pergi ke rumah adiknya dalam keadaan menangis dan kemudiannya menceritakan perkara yang berlaku sebelum suami si adik dan dibantu lebih kurang 20 penduduk kampung bertindak menangkap tertuduh dan membawanya ke Pos Polis Sungai Asap bersama mangsa untuk membuat laporan polis.

Mangsa telah membuat laporan polis pada 27 Mei 2012 sekitar jam 5.46 pagi dan pada jam 5.15 petang hari yang sama sepasukan polis telah menahan Darson di Pasar Sungai Asap.

Pada 29 Mei 2012, anggota siasatan dan anggota detektif telah menemui dan merampas sehelai kain berwarna hijau dan sebuah tilam berwarna hijau yang dipercayai digunakan oleh tertuduh semasa merogol mangsa.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan dan boleh dituduh di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Kes ini akan disebut semula pada 13 Ogos 2012 manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada 16 dan 17 Oktober 2012. Tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.