Home - Utusan Borneo - Sukan - Kejohanan Motocross Sarawak di Tudan tampilkan pelumba berpotensi
Kejohanan Motocross Sarawak di Tudan tampilkan pelumba berpotensi
by Harry Ilias. Posted on June 14, 2012, Thursday
KUCHING: Kejohanan Sarawak-AAM Motocross Challenge 2012 pusingan kedua bertaraf kebangsaan yang bakal diadakan di Litar Motocross Tudan, Miri pada 17 Jun ini bakal menampilkan pelumba-pelumba berpotensi anak jati Sarawak yang akan bertarung dengan pelumba-pelumba motocross dari Sabah, Brunei, Indonesia dan Kelantan.
Kejuaraan Sarawak-AAM Motocross Challenge 2012 ini disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan ia merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan sukan ekstrem permotoran di mana pusingan pertama telah diadakan di Limbang.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Perlumbaan Sukan Automotif Sarawak (Sarsa) dengan kerjasama Kelab Motocross Sarawak (SMXC) manakala keselamatan serta aspek perlumbaan diiktiraf oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM).
Setiausaha perlumbaan, Fadillah Sulaiman berkata, KPS memilih Litar Motocross Tudan, Miri sebagai medan untuk menentukan juara motocross pusingan kedua bersempena dengan sambutan Hari Belia Negeri Sarawak yang berpusat di Miri.
“Selain dari pelumba-pelumba tempatan Sarawak seperti Raphael, Marphy David Sze, Jong Tze Ping, Matthew Martin Paul, Hii Chang Hoon pelumba dari Sabah juga turut hadir seperti Joseph Woon, Shambeda Thomas, Gary dan Oliver Lasdin,” jelas Fadillah semalam.
“Manakala pelumba dari Brunei Darussalam akan diwakili oleh Jamil Karim, Idzham Mahsyud dan Abdul Rahman Rahim. Tidak ketinggalan pelumba tunggal dari Kalimantan Barat yang diwakili oleh Muhardi Piratas.
“Pelumba wanita tunggal dari Kuala Terengganu Siti Nor Suhaida Jaffri dan pelumba dari Ireland John Kerr Greenway akan membuat penampilan istimewa dalam perlumbaan nanti. Kedua-duanya dijangka memberikan saingan sengit dalamn perlumbaan ini kelak,” tambah Fadillah.
Siti Nor Suhaida Jaffri merupakan salah seorang pelumba wanita yang aktif menyertai beberapa siri perlumbaan motocross di Semenanjung Malaysia dan yang terakhir disertai beliau adalah perlumbaan Motocross Hari Belia 2012 di Putrajaya baru-baru ini.
Kehadiran beliau yang dijemput khas oleh SMXC ini bukan hanya tertumpu terhadap perlumbaan dan persaingan tapi turut menjurus kepada mengeratkan hubungan silaturahim antara pelumba-pelumba dan peminat sukan lasak motocross di Sarawak amnya.
Beliau akan ditemani oleh ayah serta ahli keluarga yang akan turut serta dalam beberapa kategori perlumbaan yang akan diadakan kelak.
Selain daripada kategori utama yang diadakan seperti ‘Motocross Veteran’, ‘Motocross Novice’ dan ‘Motocross Open’, SMXC turut mengadakan perlumbaan bertaraf kelab seperti ‘Scrambler’, ‘Mini Cross’ dan ‘Cub-Cross’ bagi merancakkan lagi acara serta memberi peluang kepada ahli-ahli kelab yang baru untuk menceburi bidang perlumbaan motocross secara aktif.
Acara yang berlangsung selama sehari tersebut bakal menjanjikan pertunjukkan yang menarik di mana rintangan-rintangan yang terdapat di Litar Motocross Tudan ini telah diselenggara serta diperbaharui.
Antaranya seperti ‘Step-Up’, ‘Long Shot Double’ serta ‘Whoopy Do’s’.
Peminat sukan lasak permotoran adalah dijemput untuk menyaksikan perlumbaan tersebut.
Mereka yang berminat dalam bidang fotografi juga dijemput untuk merakam aksi-aksi hebat dari pelumba-pelumba yang akan bertarung.
<< Previous Entry - Next Entry >>



