Site Last Updated 3:13 am, Friday

Manfaat minda kreatif, inovatif untuk cipta penyelesaian hadapi cabaran masa depan

Posted on June 14, 2012, Thursday

KUCHING: Generasi muda perlu memanfaatkan minda yang kreatif dan inovatif yang ada pada mereka untuk mencipta penyelesaian bagi menghadapi cabaran pada masa depan, yang menjadi aset berguna kepada diri dan masyarakat umum.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, ia mungkin dalam bentuk teknologi moden yang mudah atau kem bimbingan sosial yang mendatangkan keadilan dan kebajikan sosial.

“Generasi baharu mesti diberi inspirasi untuk melihat apa yang menanti mereka pada masa depan dan ini harus mendorong mereka memperbaharui keyakinan bagi meneruskan kejayaan yang telah dicapai oleh generasi sebelum mereka.

“Mereka perlu memastikan jentera, yang berjalan dengan baik kini akan diteruskan dengan baik oleh generasi muda pada masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Moot Court Fakulti Perundangan Kolej SEGi yang dihadiri Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pendidikan SEGi Stella Lau dan Pengetua Kolej SEGi Sarawak Elina Tiu di sini, semalam.

Dr Jerip berkata, dengan itu ia memastikan negara dan negeri ini terus kekal sejahtera, stabil dan lebih berjaya pada masa akan datang.

Bagaimanapun katanya tingkah laku dan disiplin yang baik tidak dapat dibangunkan begitu sahaja di kalangan generasi muda kerana memerlukan pelbagai usaha yang berterusan.

“Sarawak sama seperti negeri lain di Malaysia yang akan bergantung kepada rakyatnya untuk membangunkan negeri bagi fasa seterusnya.

“Sehubungan itu kita mahu pelajar kita dan pelajar perundangan yang hadir pada hari ini mempersiapkan diri untuk menyerlahkan keupayaan diri dengan mengikuti perkembangan yang berlaku di negeri ini secara keseluruhanya, isu politik semasa dan bergiat aktif,” tegas beliau.

Sementara itu Tiu dalam ucapannya berkata, perasmian Moot Court berkenaan merupakan satu lagi kemudahan penting kepada pelajar kolej berkenaan bagi memastikan pelajar perundangannya mengalami persekitaran simulasi dalam kemahiran perundangan mereka.

“Ia selaras dengan visi SEGi untuk menjadi Kolej Peneraju Industri dan kita pernah menggunakan pendekatan pendidikan nilai tambah sebegini bagi fakulti seperti Hospitaliti dengan bilik hotel, banquet dan simulasi bar yang amat berjaya dalam menyediakan pelajar untuk pekerjaan,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.