Home - Utusan Borneo - Sukan - Pasukan karate sasar emas untuk Sarawak pada Sukma

Pasukan karate sasar emas untuk Sarawak pada Sukma

Posted on June 14, 2012, Thursday

MIRI: Miri terus menyinar sebagai pusat kecemerlangan suka karate di negeri ini, apabila buat kali kedua berturut-turut, pada tahun ini, sukan karate negeri Sarawak di Sukma Ke-15 kelak diwakili oleh pemain dari Miri, seramai lapan orang meningkat daripada enam orang pada 2010.

Sehubungan itu, Persatuan Karate Sarawak (SAKA) mensasarkan untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu emas, satu perak dan dua gangsa dalam acara karate pada Sukma Ke-15 yang akan berlangsung di Pahang pada 1 dan 2 Julai depan.

Ketua jurulatihnya, Alharir Mohammed melahirkan keyakinan pasukan Sarawak mampu menepati sasaran tersebut berdasarkan penyertaan enam daripada pemainnya adalah peserta Sukma tahun 2010 yang lalu.

“Pasukan Sarawak masih lagi mengekalkan enam pemain yang mengambil bahagian dalam Sukma 2010 termasuk Mohd Suffree Mohd Ali yang dijangka akan menepati ramalan untuk emas bagi kategori lelaki 60kg,” katanya.

Selain Sukma, Suffree merupakan pemain Sarawak yang mewakili Malaysia di Kejohanan Karate di Jakarta, Indonesia dari 23 hingga 25 Jun ini.

Seramai lapan pemain akan mewakili Sarawak untuk sukan karate pada kejohanan tersebut kelak.

Lima yang lain yang masih dikekalkan (daripada Sukma 2010) ialah Dayangku Nurdiyana Awangku Tangah, Ngui Xin Riu, Alhasbi Alharir, Awangku Muhd Fauzi dan Mohd Faiq Zainudden, manakala dua pemain baharu ialah Mohd Khaliq Seppri dan Nuruljannah Tuwah.

Kecuali Ngui yang merupakan ahli Persatuan Shitoryu Karate-Do Malaysia Cawangan Miri, kesemua tujuh yang lain adalah atlet Pusat Kecemerlangan Karate Bahagian Miri.

Bagi menguji kemampuan dan ‘kejohanan pemanas badan,’ Alharir berkata, baru-baru ini kesemua pemain yang terpilih turut mengambil bahagian dalam Kejohanan Karate Kebangsaan Ke-32 yang berlangsung di Putrajaya pada 9 dan 10 Jun lepas.

“Persembahan cemerlang para peserta dalam kejohanan tersebut yang lepas adalah penanda aras kepada pasukan negeri untuk memberikan yang terbaik pada Sukma ini Julai depan.

“Dalam kejohanan tersebut, kita hanya kalah kepada pemain kebangsaan daripada Pulau Pinang, dan meraih dua pingat perak masing-masing sumbangan pasukan lelaki dan perempuan,” tambahnya.

Sementara itu, pasukan karate negeri akan berlepas bersama kontinjen Sarawak yang lain ke Pahang pada 28 Jun ini.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.