Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Batal lesen jika gerai kotor
Batal lesen jika gerai kotor
by Reno Benjamin. Posted on June 15, 2012, Friday
SIBU: Seramai 26 pemilik gerai makan di Pasar Sentral Sibu yang gagal dalam pemeriksaan penilaian kebersihan serta diberi gred D diminta meningkatkan tahap kebersihan di gerai masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Penjaja Kecil dan Pasar Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Chieng Buong Toon berkata, pihak majlis tidak teragak-agak membatalkan lesen penjaja terbabit jika tahap kebersihan masih sama pada pemeriksaan seterusnya.
“Pihak majlis tidak akan bertolak ansur dalam soal kebersihan gerai dan amat menekankan aspek kebersihan setiap gerai makan,” ujarnya.
Menurut Chieng, pengusaha gerai terbabit telah diberi tempoh selama sebulan bagi meningkatkan aspek kebersihan, sebelum pemeriksaan kebersihan seterusnya dilakukan sekitar bulan Julai.
Dua puluh enam pengusaha gerai makan itu merupakan sebahagian daripada 140 pengusaha yang terdapat di Pasar Sentral, yang telah dinilai daripada aspek kebersihan oleh MPS baru-baru ini.
Daripada 140 gerai, sembilan gerai mendapat gred B dan 80 gerai mendapat gred C.
Gerai yang mendapat gred C akan dinilai semula tiga bulan dari sekarang sementara Gred B akan dinilai enam bulan sekali.
Chieng memberitahu, 26 pengusaha terbabit telah dimaklumkan berhubung kekurangan serta aspek yang perlu diperbaiki oleh mereka.
“Kami percaya mereka sedar berhubung perkara ini dan diharap kesemua penjaja akan mengambil inisiatif menambah baik keadaan gerai masing-masing,” tambah beliau.
<< Previous Entry - Next Entry >>



