JPA perlu perjelas kriteria mohon melalui SPA: Wong

0

KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memberi garis panduan yang lebih jelas kepada umum terutamanya mengenai kriteria dikehendaki untuk seseorang pemohon menerusi talian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Adalah penting bagi seseorang pemohon mengetahui di mana mereka ini tergolong dalam sesuatu proses permohonan dalam SPA.

“Jika mereka menolak selepas temu duga pemilihan, JPA perlu memberikan sebab kepada pemohon tentang mengapa mereka ditolak,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen semalam.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa akan menulis surat mengenai perkara itu kepada JPA dalam masa terdekat ini.

Chong menegaskan perkara itu pada sidang media di Ibu Pejabat DAP semalam sambil bersimpati terhadap nasib seorang pemuda, Yong, 22, yang sudah dua kali hadir ke sesi temu duga bagi kursus latihan, namun gagal sejak 2009.

Yong lulus peperiksaan Sijil Peperiksaan Menengah (SPM) pada 2008 dan memohon untuk kursus latihan JPA menerusi talian SPA pada tahun berikutnya.

Dia telah dipanggil untuk temu duga bagi satu kursus tetapi walaupun syarat minimum lulus SPM, permohonan beliau telah ditolak.

Awal tahun ini, dia sekali lagi memohon bagi lima kursus yang sama tetapi hanya satu dipanggil untuk temu duga dan sekali lagi, Yong gagal selepas sesi temu duga tanpa diberi sebab.

Sehubungan itu, Chong meminta JPA memperjelaskan kriteria seseorang dan mengapa individu berkenaan gagal dalam temu duganya.

“Tiada sebab diberikan mengapa dia (Yong) gagal… Saya percaya ini bukan kes terpencil, mungkin ada ramai lagi yang mengalami nasib yang sama.

“Apa yang penting ialah JPA harus memberi penjelasan mengapa pemohon ditolak kerana orang Cina sering dikaitkan dengan isu bahawa mereka tidak berminat bekerja di sektor awam.

“Di sini adalah satu contoh yang jelas seorang pemuda Cina yang berminat dalam sektor awam tetapi ditolak selepas dua kali memohon dan hadir temu duga walaupun memenuhi syarat kelayakan,” ujarnya.