Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Ribuan penduduk Sook yakin pentadbiran Najib

Ribuan penduduk Sook yakin pentadbiran Najib

Posted on June 16, 2012, Saturday

KENINGAU: Penduduk Sook dalam kawasan Parlimen Pensiangan kini begitu yakin dengan masa depan mereka apabila keadaan mundur di kawasan mereka sudah berlalu dengan program pembangunan yang semakin mencurah-curah melalui keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rata-rata mereka berpendapat perayaan Tadau Kaamatan tahun ini menjadi lebih bermakna apabila Perdana Menteri dijadual berkunjung ke kawasan pedalaman Sabah itu yang jaraknya kira-kira 45 km dari pekan Keningau.

Penduduk di Sook mengharapkan sebuah pembangunan yang mapan dengan meletakkan harapan kepada Najib untuk mengubah landskap pembangunan yang berterusan di kawasan mereka.

Seorang penduduk Kampung Sri Menanti, Alexander Kunsalam, 32, berkata mereka sangat berbesar hati dengan lawatan turun padang perdana menteri walaupun tidak dijemput ke kampung tersebut.

“Inilah pemimpin yang kita mahu kerana sanggup turun padang,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Seorang petani Nain Orou, 49, pula berkata pembangunan di Sook semakin rancak terutama dari segi infrastruktur jalan raya yang boleh memudahkan pergerakan dari segi pengangkutan untuk menjual hasil tanamannya ke pekan-pekan lain.

“Dulu pekan ini (Sook) banyak kekurangan dari segi pembangunan, tetapi kini kita nampak sudah banyak kabel-kabel dan wayar-wayar ini di sepanjang jalan jika hendak dibandingkan pada masa dulu,” katanya.

Dengan memberi contoh program transformasi terbaik yang dilakukan Najib iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Nain berkata ia suatu yang munasabah bagi membantu meringankan bebanan rakyat terutama di kawasan pedalaman Sabah ini.

Katanya, stesen radio Keningau FM, yang mula beroperasi secara rasmi pada 2009 turut dilihat sebagai ‘program pembangunan’ yang membantu menonjolkan keunikan budaya dan bahasa termasuk suku kaum Murut dan Dusun di kawasan pedalaman Sabah termasuk kawasan Pensiangan melalui siaran radio itu.

“Dengan adanya siaran radio (Keningau FM), penduduk dapat berkomunikasi antara satu sama lain terutama di kawasan terpencil…dulu hanya ada di bandar utama di Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang ibu kepada tujuh anak, Lurita Inton, 40, beliau berharap perdana menteri membawa ‘hadiah istimewa’ kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah itu terutama dari segi keperluan asas mendapatkan bekalan air bersih.

Bagi seorang warga emas, Luntipon Loyang, 65, dari Kampung Kabatang pula beliau bersyukur sekiranya pemimpin negara itu dapat membangunkan kampungnya.

“Syukur…perdana menteri tahu datang sendiri ke kawasan tercorot di Sabah ini…harap dia tahu masalah rakyat,” katanya.

Seorang remaja yang mahu dikenali sebagai Suhaimin berkata suatu penghormatan besar terhadap penduduk di pedalaman ini untuk melihat dari dekat pemimpin nombor satu negara mengunjungi kawasan ini.

Esok, (hari ini) Najib akan memulakan lawatan dua hari ke pedalaman Sabah, termasuk merasmikan Pusat Kraftangan Sabah dan melakukan majlis pecah tanah Pusat Bersepadu Haiwan Ternakan Keningau di Sook sebelum menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan pada sebelah malam.

Najib turut dijadual mengadakan tinjauan mesra di pekan Keningau dan Bingkor sebelum melawat Rumah Besar OKK Sodomon di Bingkor, Keningau yang pernah menerima kunjungan Almarhum ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein. — Bernama

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.