Sebar penghayatan konsep 1Malaysia dalam kalangan belia, kata Karim

0

KOTA SAMARAHAN: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi digesa memainkan peranan dalam menyampaikan konsep penghayatan 1Malaysia terutamanya dalam kalangan belia bagi mengekalkan kestabilan negara.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kebanyakan belia pada masa kini kurang memahami dan menghayati erti sebenar 1Malaysia yang sering diuar-uarkan.

“Saya berharap pemimpin masyarakat baik JKKK kampung, JKKK masjid atau surau mahupun pemimpin politik setiap peringkat tahu bagaimana hendak menerang serta menjelaskan keadaan kehidupan masa dahulu dan betapa susahnya untuk kerajaan mengubah negara seperti mana yang kita lihat pada masa sekarang.

“Namun, para belia sekarang kurang memahami penghayatan ini mungkin disebabkan kurang pendedahan dan penglibatan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Karnival Penghayatan 1Malaysia yang dianjurkan selama dua hari di Kampung Pinang semalam.

Pelbagai pertandingan dianjurkan pada program yang disertai enam buah kampung dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu iaitu Kampung Jaie, Sadong Jaya, Endap, Sampun, Tambirat dan Kampung Pinang yang menyaksikan tuan rumah dinobatkan sebagai juara keseluruhan karnival itu.

“Kita mempunyai sebuah kerajaan yang dapat mengatur kestabilan sesuatu pembangunan dan merancang pembangunan yang begitu baik sekali sehingga kita dapat melihat apa yang dapat lihat hari ini berbanding 30 tahun lalu,” tambahnya.