Dua projek jambatan terpenting di S’wak mula dilaksana

3

SADONG JAYA: Dua projek pembinaan jambatan baharu yang terpenting di negeri ini sudah mula dilaksanakan sejak awal bulan ini (Jun).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, projek berkenaan masingmasing dilaksanakan di Batang Sadong yang akan menghubungkan daerah kecil Sadong Jaya, daerah Asajaya dan Simunjan dalam bahagian Samarahan serta Jambatan Pandaruan untuk menghubungkan Limbang dan Brunei.

Jelasnya, Jambatan Batang Sadong yang panjangnya 1,480 meter dan lebar 12 meter dijadualkan siap dalam tempoh empat tahun dengan menelan kos lebih RM211 juta, telah diberikan kepada kontraktor KACC Construction Sdn Bhd.

Tambahnya, satu lagi projek jambatan terpenting yang menghubungkan antara Brunei dan Limbang, sepanjang 200 meter dan lebar 14 meter dijangka siap pada Ogos 2013 dengan kos RM21 juta.

“Jambatan ini begitu penting kerana menghubungkan Sarawak dan Brunei yang akan merancakkan aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Manakala di Batang Sadong ini, saya dimaklumkan bahawa pada hari ini bilangan trafik yang menggunakan feri untuk menyeberangi sungai adalah lebih kurang 50,000 sebulan maka dengan terbinanya jambatan ini pastinya akan merancakkan kegiatan ekonomi yang berada di kedua-dua daerah ini khasnya dan umumnya di daerah Kota Samarahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Jambatan Batang Sadong, Kampung Buloh Sadong Jaya semalam.

Katanya, Jambatan Batang Sadong merupakan jambatan terpanjang di negeri ini yang akan menjadi kebanggaan rakyat Sarawak.

Pada masa yang sama, Shaziman menegaskan bahawa projek itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas program turun padang yang kedua di Sarawak baru-baru ini.

“Permintaan telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Sukri dan ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo pada bulan April 2011,” katanya.

Jelasnya, Perdana Menteri telah datang bagi melihat sendiri semasa program turun padang dan kemudian beliau bersetuju untuk membina jambatan.

“Setakat ini, saya fikir kedua-dua projek jambatan ini adalah projek baharu bagi Sarawak. Jika terdapat lebih, kami akan memaklumkan dan memberi maklumat lanjut kemudian,” ujarnya.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Julaihi Narawi.