Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Galak anak ceburi bidang kerjaya diminati
Galak anak ceburi bidang kerjaya diminati
by SHAMRY M SANI. Posted on June 19, 2012, Tuesday
TAWAU: Ibu bapa tidak seharusnya terlalu memaksa dan menentukan kerjaya anak-anak yang tidak mampu dilakukan kerana ia hanya akan menjejaskan masa depan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, sebaliknya ibu bapa perlu memberikan galakan serta dorongan supaya anak-anak
menumpukan kepada mata pelajaran mengikut kerjaya pilihan dan minat mereka sendiri.
Katanya, sekiranya ibu atau bapa merupakan seorang doktor, ia tidak semestinya diwarisi oleh anak-anak kecuali mereka sendiri yang berminat untuk mengikuti jejak langkah ibu bapa masing-masing.
“Tindakan memaksa dan menekan anak belajar bidang atau kerjaya di luar kemampuan mereka hanya akan memusnahkan segala-galanya termasuk jaminan masa depan anak-anak itu sendiri.
“Selain gagal di bidang pelajaran, mereka akan merasa kecewa dan akhirnya menjadi murung dan akan bertindak di luar batasan yang memusnahkan harapan keluarga,” katanya pada sambutan Hari Ibu, Hari Guru dan Hari Bapa anjuran Parti Bersatua Sabah, Kampung Tanjung Batu, Tawau malam Ahad.
Menurutnya, walaupun bidang pendidikan memerlukan kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan tetapi kebolehan pelajar untuk mencapai tahap itu amat sedikit kerana ia memerlukan bakat luar biasa.
Sehubungan itu, katanya, ibu bapa perlu memberikan nasihat dan dorongan agar anak-anak mereka memilih kerjaya yang sesuai dengan kehendak pasaran pekerjaan hari ini terutamanya kebolehan menguasai kemahiran dalam sektor industri.
Hamisa yang juga Ketua Wanita Umno Kalabakan, berkata di negara maju, sektor pendidikan tidak terlalu menumpukan pendidikan akademik semata-mata tetapi memberikan tumpuan kepada kemahiran kerana keputusan peperiksaan bukan menentukan segala-galanya terutama dalam kejayaan pada masa depan.
Menurutnya, kegagalan dalam peperiksaan dan akademik bukan bererti masa depan pelajar sudah gelap tetapi mereka masih ada masa depan yang cerah dan peluang kedua dengan melanjutkan pelajaran di pusat-pusat kemahiran yang ada di negara ini.
“Meraka boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti kerana mudah menguasai ilmu kemahiran yang mereka minat dan mampu menguasainya.
“Selain itu, saya juga berharap ibu bapa perlu bekerjasama dengan sekolah bagi membantu pembelajaran anak-anak kerana tugas mendidik tidak terletak di bahu guru dan sekolah semata-mata,” katanya.
<< Previous Entry - Next Entry >>



