Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Harun Abdullah Naib Canselor UMS yang baru

Harun Abdullah Naib Canselor UMS yang baru

by SITI AISYAH NARUDIN aisyahub@gmail.com. Posted on June 19, 2012, Tuesday

HARUN (kanan) menerima watikah penyerahan tugas daripada Kamaruzaman pada majlis itu. Turut kelihatan, Pendaftar UMS, Datuk Abdullah Mohd Said (tengah).

KOTA KINABALU: Pupuk keharmonian kampus menjadi matlamat bagi Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Harun Abdullah yang baru memulakan tugas sebagai naib canselor kelmarin.

Pelantikan Harun bagi menggantikan tugas mantan Naib Canselor UMS, Briged Jen. Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Ampon yang menamatkan perkhidmatannya minggu lepas.

Dilantik sebagai naib canselor UMS yang keempat, beliau yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, menganggap tugas baru itu sebagai satu tanggungjawab besar untuk dipikul.

Justeru, beliau berharap kerjasama dan sokongan daripada semua pihak dapat membantunya untuk melaksanakan tugas sebagai naib canselor.

“Sebagai naib canselor, saya bukanlah orang penting, namun apa yang menjadikan keutamaan kita adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Tanpa keharmonian, tidak mungkin kita semua akan dapat bergerak bersama khususnya dalam meneruskan matlamat untuk membangunkan UMS,” katanya.

Harun berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Tugas Naib Canselor UMS di sini kelmarin.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun akan datang ini, beliau akan berusaha untuk menjadi model terbaik dalam melaksanakan tugas sebagai naib canselor.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, tanggungjawab sebagai naib canselor bukanlah satu tugas yang boleh dipandang ringan.

Jelasnya, ia memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dengan menjadikan UMS itu sendiri sebagai keutamaan.

“Kita perlu meneruskan matlamat untuk membangunkan UMS berteraskan nilai-nilai murni, integriti dan beretika.

“Sehubungan itu, saya mahu agar nilai-nilai berkenaan dapat diteruskan ke arah pembangunan UMS,” katanya.

Harun yang juga anak kelahiran Kampung Gudon Menggatal ini pernah menjadi Dekan Sekolah Sains dan Teknologi (SST) UMS tahun 2008 hingga 2011.

Anak sulung daripada lima adik-beradik ini juga adalah Ahli Senat UMS sejak 3 Jun 2008 sehingga sekarang.

Selain menjadi Ketua Unit Penyelidikan Air (WRU) yang pertama bermula 15 November 2011, beliau juga dilantik sebagai wakil tetap UMS dalam Majlis Perlindungan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Sabah sejak 2001.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.