Kerajaan yakin kurang karbon dioksida 40 peratus

0

MIRI: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yakin negara akan mampu mencapai sasaran pengurangan intensiti karbon dioksida (CO2) sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin memberitahu bahawa langkah kesedaran dan pelbagai program ke arah usaha mengamalkan penggunaan teknologi hijau bukan sahaja diterima oleh setiap lapisan rakyat di negara ini, malah turut mendapat sokongan syarikat swasta, kilang dan para pemaju.

“Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan pelepasan CO2 ke ruang udara negara kita sehingga 40 peratus menjelang 2020. Walaupun hanya tinggal lapan tahun lagi, namun saya yakin kita mampu mencapainya.

“Kementerian ini akan menggunakan semua sumber dan program yang ada dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang akan bertindak sebagai pengumpul data. Kita di atas landasan yang tepat ke arah usaha tersebut,” ujarnya.

Chin berkata demikian kepada pemberita di sini pada sidang akhbar selepas merasmikan Program 1Hijau 1Komuniti dan majlis pelancaran Jelajah Teknologi Hijau di sini, semalam.

“Semua lapisan masyarakat terutama generasi muda yang akan menjadi tonggak negara, bersama-sama kementerian merealisasikan visi kerajaan iaitu mengurangkan intensiti CO2 di ruang udara kita sebanyak 40 peratus berbanding 2005, ini merupakan langkah besar dalam memastikan kelangsungan hayat bumi kita, khususnya Malaysia,” katanya.

Beliau dalam pada itu melahirkan rasa bangga dan gembira dengan penyertaan syarikat pemaju di negara ini yang semakin positif dalam mengamalkan penggunaan teknologi hijau dalam konsep pembinaan bangunan dan perumahan mereka.

“Semakin banyak pemaju kini mengguna pakai Indeks Bangunan Hijau (GBI) dalam membina bangunan,termasuk hotel-hotel, rumah pangsa, flat, kondominium hingga kepada rumah-rumah moden hari ini,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya Chin memberitahu bahawa selain daripada syarikat swasta dan kilang, kesedaran dan penglibatan orang awam juga penting khususnya dalam membudayakan amalan kehidupan hijau, sama ada memulakannya di rumah mahupun di tempat kerja, semasa menjalankan aktiviti harian.

“Program Hijau 1Komuniti ini merupakan salah satu inisiatif bagi mempromosikan dan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat tentang amalan-amalan teknologi hijau dalam kehidupan seharian.

“Saya mahu semua rakyat sedar bahawa sudah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk menjaga dan memelihara alam sekitar dan memastikan persekitaran hidup yang mapan, selesa dan sihat,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Noriah Kasnon, Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (Jaringan Industri dan Masyarakat) Senator Lihan Jok, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai serta ketua-ketua agensi di bawah KeTTHA.