Parti cuba menentang calon PRS harus dianggap sebagai penentang BN

2

ENGKILILI: Parti lawan yang cuba menentang calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) di enam kerusi milik PRS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang harus dianggap sebagai penentang Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak berkata, ini berikutan PRS adalah salah satu komponen BN termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demoktarik Sarawak (SPDP).

Menurutnya, Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang bukan dalam parti komponen BN itu dianggap ‘musuh’ BN.

“Atas sebab ini adalah amat tidak masuk akal untuk rakyat mempercayai bahawa SWP adalah parti mesra BN memandangkan mereka cuba menumbangkan PRS di enam kerusi Parlimen pada pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 yang telah diada-kan di kawasan Perumahan Pendapatan Rendah (PPR) Engkilili baru-baru ini.

Selain itu Nyalau juga mahu penghuni  berbilang kaum di PPR, Engkilili terus bersatu padu untuk menjayakan rancangan pembangunan di kawasan penempatan mereka nanti.

“Saya berharap agar penduduk berbilang kaum di kawasan Engkilili untuk terus memberi sokongan 100 peratus terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada PRU13,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa,  Pengerusi Penempatan PPR Engkilili Bobby Jerman dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.