Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Projek empangan sedang dirancang, belum dilaksana, dihentikan jika PR berkuasa

Projek empangan sedang dirancang, belum dilaksana, dihentikan jika PR berkuasa

Posted on June 20, 2012, Wednesday

KUCHING: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Baru Bian semalam memberi jaminan bahawa semua projek empangan yang sedang dirancang dan belum dilaksanakan di negeri ini akan dihentikan jika Pakatan Rakyat (PR) berkuasa.

Ini kerana menurut beliau banyak peristiwa telah berlaku di kawasan-kawasan empangan negeri ini yang penduduknya terjejas telah diabaikan.

Mengambil contoh di Bakun, Bengoh dan yang dicadangkan di Baram, Baru berkata banyak janji-janji masih belum dipenuhi.

“Kami memberi jaminan kepada semua rakyat Sarawak bahawa jika PR berkuasa, kami akan menghentikan semua projek empangan yang sedang dirancang tetapi belum dilaksanakan.

“Ini kerana sudah terlalu banyak empangan di Sarawak dan terdapat lebihan bekalan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, di sini semalam.

Menurut Baru yang juga ADUN Ba’Kelalan, usaha tersebut adalah sejajar dengan wawasan PR yang menawarkan politik harapan untuk masa depan kepada rakyat.

“Saya percaya, rakyat kini dalam kedudukan yang lebih baik untuk menilai kedudukan sendiri dan mereka akan mengundi sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Baru turut meng-umumkan kutipan derma sebanyak RM1,410 daripada PKR Negeri kepada mangsa kebakaran di Kampung Rembus, Samarahan baru-baru ini yang mengorbankan seorang nenek dan dua cucunya.

 

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.