Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Tiada aktiviti luar PLKN jika bacaan IPU tidak sihat
Tiada aktiviti luar PLKN jika bacaan IPU tidak sihat
Posted on June 20, 2012, Wednesday
MIRI: Kerajaan akan mengarahkan semua 80 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara membekukan aktiviti luar mereka sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan tidak sihat.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Dr Ismail Ahmad berkata, ketika ini sudah banyak aktiviti luaran di kem PLKN dihadkan berikutan cuaca yang panas dan berjerebu.
Situasi jerebu katanya, agak serius di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dengan semua pihak pengurusan kem PLKN diminta supaya peka situasi itu dari semasa ke semasa.
“Jika paras IPU mencecah bacaan 100, kem PLKN di kawasan berkenaan tidak seharusnya membenarkan pelatih mereka melakukan aktiviti di luar kerana ia membahayakan kesihatan.
“Kementerian akan memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa.
“Jika ada aktiviti luaran dianjurkan dalam keadaan cuaca tidak menentu berkenaan kita minta pusat berkenaan menyediakan topeng penutup muka kepada setiap pelatih,” katanya pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke Kem PLKN Miri di Sungai Rait, Bakam dekat sini, semalam.
Ismail berkata, pihak pengurusan kem juga perlu memastikan pelatih yang di bawah jagaan mereka berada pada tahap kesihatan yang baik untuk melakukan aktiviti yang\ dirancang.
Mengenai wabak H1N1 membabitkan pelatih pusat itu, beliau berkata, ketika ini hanya dua pelatih saja yang masih menerima rawatan di hospital di Kedah.
“Selebihnya sudah dibenarkan pulang dan keadaan kedua- dua pelatih yang dirawat bertambah baik,” katanya. Mengenai latihan siri dua yang diadakan untuk 24,000 pelatih PLKN di seluruh negara sekarang beliau berkata, ia berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Di Kem PLKN Miri pula, seramai 392 pelatih telah mendaftarkan kehadiran mereka di sini, bagaimanapun sehingga semalam hanya tinggal 324 orang sahaja, manakala yang lain terpaksa diberi pelepasan awal kerana masalah kesihatan dan ada yang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Sementara itu dalam ucapannya di majlis makan tengah hari sempena lawatannya ke kem berkenaan, Ismail berkata semua pusat latihan sudah diarah untuk menekankan kepentingan jati diri dalam diri masingmasing dan cintakan negara.
“Pendekatan itu penting untuk memastikan pelatih berkenaan tidak terjebak atau terpengaruh dengan demonstrasi jalanan yang banyak berlaku sekarang,” katanya.
Ismail berkata, penekanan terhadap cintakan kedamaian negara amat penting untuk memulihara keharmonian Malaysia.
“Walaupun tiada pelatih PLKN dikesan terbabit dengan demonstrasi jalanan yang berlaku di ibu negara barubaru ini, kami tetap menekankan kepentingan untuk membina dan meningkatkan jati diri dalam diri setiap pelatih,” katanya.
Dalam pada itu beliau mengingatkan pelatih supaya mendaftarkan nama mereka dengan pihak pengurusan kem selepas tamat latihan kelak, bagi memastikan mereka sentiasa dapat dihubungi untuk membolehkan mereka terus menyumbang tenaga dan turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan menerusi Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN).
“Penubuhan BSKN bertujuan supaya bekas-bekas pelatih PLKN berupaya menyumbang tenaga dan membantu negara jika berlaku sesuatu bencana seperti tanah runtuh, banjir dan sebagainya.
“Aktiviti ini dapat memberi peluang untuk wira dan wirawati meningkatkan semangat patriotisme dan kesukarelawan,” katanya.
Turut hadir Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw serta Ketua Jurutera Brigedier Jeneral Datuk Abdul Nasser Ahmad.
<< Previous Entry - Next Entry >>



