Mayat mangsa serangan buaya Sungai Seblak ditemui

0

SARATOK: Mayat mangsa keempat buaya Sungai Seblak yang dikenali dengan jolokan Bujang Seblak ditemui oleh ahli keluarganya setelah empat jam dilaporkan hilang.

Dalam kejadian serangan reptilia tersebut, seorang wanita berusia pertengahan umur dan merupakan isteri Tuai Rumah Embol dari Sungai Anak, Pelunga Roban telah menjadi mangsa serangan reptilia ganas tersebut yang popular dengan sejarahnya yang tersendiri di kalangan penduduk setempat.

Sebelum ini, reptilia ganas tersebut mempunyai sejarah serangan terhadap manusia bermula sejak tahun 2007 apabila tiga mangsanya adalah nelayan sungai.

Mangsa terakhir sebelum ini ialah Sulaiman Abdullah dari Kampung Melayu Roban iaitu pada bulan Ogos tahun lepas.

Setelah sekianlama menyepi, kini Bujang Seblak yang terkenal dengan keganasannya mula menunjukkan keganasannya lagi.

Dalam kejadian serang yang terbaharu ini pemberita sempat mengambi maklumat daripada salah seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui di Hospital Saratok, semalam.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang mandi bersama beberapa anggota keluarga dari rumah panjang terbabit.

“Sedang mereka leka mandi, secara tiba-tiba, mangsa seperti ditarik suatu lembaga hitam yang sangat besar yang muncul dari dasar sungai.

“Belum sempat mereka melarikan diri, buaya tersebut dengan begitu pantas terus menyambar mangsa dan menarik mangsa ke dasar sungai.

“Melihat kejadian itu, saudara-mara mangsa yang turut sama berada di lokasi kejadian cuba menarik mangsa sambil cuba memukul buaya berkenaan dengan kayu dan pendayung perahu yang sempat diambil dari perahu-perahu yang berada di pangkalan tersebut.

“Namun begitu buaya tersebut tidak mengendahkan jeritan dan pukulan yang dibuat oleh saudara mangsa tetapi terus menarik mangsa ke dasar sungai hingga dia hilang terus dari pandangan,” ceritanya kepada pemberita.

Tambahnya, melihat kejadian itu beberapa penduduk kampung terus bergegas balik semula ke rumah panjang untuk mengambil beberapa perkakas seperti senapang dan pukat.

“Kami turut membuat beberapa panggilan untuk menghubungi sanak-saudara yang berada di bahagian hilir Sungai Seblak untuk memaklumkan kejadian itu dan memohon bantuan untuk menjejaki mangsa.

“Berdasarkan buah fikiran ramai, satu kata sepakat telah dicapai dan semuanya bersetuju untuk menarik pukat merentangi Sungai Anak dengan tujuan untuk menghalang buaya terbabit dari membawa mangsa ke Sungai Seblak.

“Setelah itu kami semua terus bertindak memasang pukat dan melancarkan gerakan mencari mangsa. Sekitar jam 9 malam pasukan mencari kami telah terserempak dengan buaya terbabit sedang menggonggong mangsa.

“Melihat keadaan itu, salah seorang daripada kami yang membawa senapang terus menambak ke arah buaya terbabit dan sebaik sahaja tembakan tersebut dilepaskan, buaya terbabit terus melepaskan mangsa,” jelasnya.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok ASP Zamrul Ahmad ketika dihubungi pemberita semalam mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan tentang kejadian itu.

“Nama penuh mangsa ialah Siah Munsong, 42 tahun dan telah dijumpai oleh saudaranya tidak jauh dari lokasi kejadian pada sekitar jam 9.40 malam kelmarin.

“Berdasarkan keadaan mayat mangsa, terdapat beberapa kesan gigitan di bahagian kaki mangsa dan berdasarkan laporan yang kami terima juga kejadian itu dipercayai berlaku pada sekitar jam 5.30 petang kelmarin,” katanya.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok untuk proses bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya serta telah dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Saratok pada sekitar jam 10 pagi semalam untuk dibawa balik ke rumah panjangnya di Sungai Anak, Pelunga Roban.