Jurulatih yakin Grace mampu menyinar dalam acara lontar peluru di Sukma

0

KUCHING: Atlet lontar peluru Grace Wong Xiu Mei menjadi atlet termuda dalam kontinjen Sukma Sarawak setelah menyinar pada pemilihan yang diadakan di Stadium Tun Ahmad Zaidi, Sibu dua minggu lepas.

Walaupun baharu berumur 12 tahun, remaja perempuan yang berasal dari Sarikei tersebut mampu untuk melontar peluru besi seberat 4kg sejauh 11.8 meter sekali gus melayakkannya ke Pahang pada Julai nanti.

Menurut Thomas Ling Neng Thung, jurulatih dalam acara melontar peluru Pusat Kecemerlangan Atlet Bahagian Sarikei, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Grace cukup istimewa kerana mampu untuk menyaingi pencabar-pencabarnya yang lebih tua.

“Saya yakin, Grace mampu memberi kejutan buat kita di Kuantan kelak. Dia tidak mudah mengalah,” jelas beliau ketika dihubungi semalam.

Beliau menambah setakat ini, Grace mampu untuk melontar sejauh 11 meter dalam latihan hariannya di Stadium Sarikei. Sekiranya dia mampu untuk melontar sejauh 11.5 meter, peluang untuk memenangi pingat adalah cerah.

Rakan sepasukan Grace, Casier Renee Lee yang turut bertanding dalam acara yang sama mencatat lontaran peribadi sejauh 12 meter, sementara atlet Kelantan Bibi Ishak dengan 11.27 meter dalam kejohanan Terbuka Selangor dan peserta Pahang Chin Poh Kuan dengan 11 meter.

Biarpun dilabel ‘underdog,’ Grace tetap mendapat kepercayaan untuk mencipta kejayaan kerana beliau tidak merasa tertekan dengan pesaingnya yang jauh lebih tua dan berpengalaman.

Ling melahirkan rasa terima kasih Persatuan Olahraga Amatur Sarawak (SAAA) dan MSNS kerana memberi peluang kepada Grace untuk bertanding di Kuantan.

Ketika berumur sembilan tahun, Grace sudah mengambil bahagian dalam pertandingan lontar peluru di SJK Hua Nam dan beliau merupakan pemenang pingat emas bagi kategori bawah 12 tahun semasa Kejohanan Trek dan Balapan Antara Sekolah Rendah dan Menengah Bahagian Sarikei sejak tahun 2009.

Dia juga menjadi pelajar sekolah rendah pertama memecah rekod 10 meter di Sarikei.

Grace turut mendapat dorongan daripada pakcik beliau, Wong Tee Kui yang merupakan johan lima kali Sukan SEA dalam acara pembaling tukul besi.

Pada 2009, Grace mencipta sejarah dengan mengalahkan lawan yang lebih tua dalam Kejohanan Trek dan Balapan MSN kategori bawah 12.

Beliau turut mewakili Sarawak dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia di Johor bawah 12 tahun dan johan dengan lontaran sejauh 10.73 meter.

Pada 2011, Grace mempertahankan kejuaraan bawah 12 tahun yang dimenanginya dengan mencatat rekod baharu iaitu 11.96 meter di Ipoh, Perak.

Dalam kejohanan MSSM di Perlis tahun ini, Grace turut unggul dengan mencatat rekod hatrik dengan lontaran sejauh 13.61 meter.