Lebih 3,000 guru gred DGA29, DGA32 berijazah belum dilantik ke gred DG41

0

KUCHING: Lebih 3,000 guru Bumiputera daripada gred DGA29 dan DGA32 di Sarawak yang telah menamatkan pengajian Sarjana Muda masih belum dilantik ke gred baharu DG41.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata perkara itu telah menjadi rungutan di kalangan guru terbabit terutama ahli KGBS kerana ia telah melalui tempoh yang agak lama.

“Mereka khuatir disebabkan kelewatan pelantikan ini akan menjejaskan senioriti dan peluang kerjaya mereka pada masa akan datang,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), semalam.

Menurut Ahmad, terdapat kalangan guru tersebut yang telah menamatkan pengajian pada 2010 dan 2011.

Katanya mereka terdiri daripada golongan guru Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma (PPPLD) yang menyambung belajar dan telah menamatkan pengajian tetapi belum dilantik ke gred baharu DG41.

“KGBS menggesa agar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melantik segera guru-guru yang telah tamat pengajian ini khususnya bagi yang di bawah program anjuran KPM.

“KGBS menerima rungutan mengenai perkara ini kerana mereka belum lagi dilantik ke DG41 walaupun ada antara mereka yang telah tamat pengajian sejak dua tahun lepas,” katanya.