Home - Utusan Borneo - Sukan - Hidup atau mati buat Sarawak
Hidup atau mati buat Sarawak
by Harry Ilias. Posted on June 23, 2012, Saturday
KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts menyifatkan pertemuan menentang Perak malam ini (Sabtu) sebagai pertembungan ‘hidup atau mati’ bagi skuadnya dalam kancah Liga Super 2012.
Ditemui ketika sesi latihan di Stadium Sarawak kelmarin, Alberts menegaskan hanya kemenangan diperlukan bagi menghidupkan peluang Sarawak untuk terus kekal dalam liga berprestij tersebut pada tahun hadapan.
“Walau apa cara sekalipun, kita harus menang pada Sabtu malam ini. Kita tidak rela keciciran tiga mata penuh kerana ia sangat penting bagi memperbaiki kedudukan di tangga liga,” jelas Alberts.
“Saya menyeru kepada para pemain agar bermain dengan bersungguh-sungguh, fokus dan tidak mensia-siakan peluang yang ada kerana Perak bukan lawan yang mudah.”
Walaupun tewas 1-2 pada pusingan pertama Februari lepas, Alberts tetap yakin anak-anak buahnya mampu untuk menjinakkan skuad Seladang apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Corak permainan Perak serupa dengan Negeri Sembilan iaitu lebih kepada bertahan tetapi mereka memiliki ramai pemain-pemain muda yang boleh mengundang bahaya kepada kita.
“Namun kita tidak perlu gusar dengan keupayaan lawan kerana ramai tonggak dijangka kembali beraksi pada malam ini,” jelas jurulatih dari Belanda itu lagi.
Kapten Guy Bwele dan penyerang Zamri Morshidi akan kembali beraksi setelah terlepas tempoh hukuman.
Mohd Hairol Mokhtar juga bakal diturunkan setelah kembali daripada kecederaan termasuk ayam tambatan dari Cameroon, Joel Epalle.
Walau bagaimanapun, Sarawak bakal kehilangan Sahran Abdul Samad kerana penggantungan sementara Ashri Chuchu masih meng-galas tugas negara.
Penyerang Rashid Aya pula masih dibelenggu kecederaan dan beliau mungkin tidak akan dapat beraksi hingga ke penghujung musim.
Apa yang pasti, sandaran sekali lagi diletakkan di bahu Khairol Azahar Eidros yang menjaringkan gol saguhati Sarawak pada pertemuan dengan Negeri Sembilan Selasa lepas bagi mengemudi bahagian serangan malam ini sambil dibantu oleh Zamri dan Epalle.
Justeru, Alberts berharap agar para penyokong Sarawak datang beramai-ramai dan terus memberikan sokongan padu kepada skuadnya. Setelah mengharungi 20 perlawanan, Sarawak menduduki tangga kesembilan dengan 23 mata.
Skuad Ngap Sayot akan kembali menduduki tangga kelapan sekiranya berjaya menumpaskan Perak dan Selangor PKNS tumpas.
<< Previous Entry - Next Entry >>



