Jawatankuasa setiap daerah tangani kemarau, masalah air

0

KUCHING: Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa di setiap peringkat daerah bagi mengatasi masalah kemarau dan air yang melanda negeri ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia sudah menjadi amalan setiap kali berlaku kemarau dengan menyelaraskan tindakan bersama Pejabat Daerah.

“Kami akan menubuhkan jawatankuasa di semua peringkat daerah dan kami bekerja rapat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan.

“Biasanya di kawasan yang terjejas teruk akibat kemarau dan masalah air, JKR akan menghantar air menggunakan lori tangki, trak dan sebagainya ke kawasan yang menhadapi masalah,” katanya pada sidang media di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata, bagi menggerakkan usaha berkenaan, kerjasama daripada semua pihak khasnya semua Pejabat Daerah di negeri ini amat penting.

Katanya, buat masa kini, kawasan pesisir pantai serta kawasan terpencil dan bahagian utara negeri ini seperti Limbang, Lawas dan kawasan pantai seperti Bahagian Mukah mungkin terjejas.

“Bagaimanapun, ada kawasan-kawasan berkaitan sudah menangani masalah kekurangan air, namun kita perlu menyelaras dengan JKR, Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan mengenai perkara ini,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi jerebu yang turut melanda negeri ini, Awang Tengah berkata, kerajaan menerusi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) sedang memantau aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelak kualiti udara terus merosot.

Katanya pemantauan itu dibuat menggunakan teknologi satelit dan pengimejan selain siasatan di lapangan.

“Semua lesen pembakaran terbuka di negeri ini juga telah ditarik balik dan dibekukan oleh NREB dan arahan sedang dikeluarkan untuk menghentikan kerja di kawasan yang pernah dibenarkan melakukan pembakaran terbuka,” kata beliau lagi.

Tambahnya, bagi pembakaran di kawasan ‘hot spot,’ tindakan diambil adalah dengan menarik balik semua permit dan usaha untuk menangani masalah ini sudah dilakukan.

“Untuk makluman, berdasarkan maklumat yang saya terima setakat 21 Jun, sebanyak 226 tompok panas telah dikesan di Sumatera serta 88 tompok panas di Borneo dan daripada itu, 40 tompok panas adalah di Sarawak.

“Setakat 7 pagi 21 Jun, Indeks Pencemaran Udara (IPU) Sarawak antara 52 hingga 176 iaitu dengan Miri mencatatkan bacaan tertinggi sementara Limbang mencatatkan bacaan terendah,” kata beliau.