Kebakaran tanah gambut di Kuala Baram terus merebak

0

SERIUS: Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Ismail Ithnin (kanan) dan Datuk Bandar Miri Lawrence Lai mendengar penjelasan daripada Ketua JAS Miri Siva Nathiran Subramaniam (tengah) ketika tinjauan di kawasan kebakaran tanah gambut berhampiran Kompleks Kebajikan Hamidah, Miri semalam.

MIRI: Kebakaran tanah gambut di sekitar Kuala Baram semakin merebak ke kawasan-kawasan sukar dimasuki yang dikhuatiri menjadi lebih serius akibat tiupan angin kencang dan cuaca kering yang berterusan.

Asap dan habuk dari kebakaran itu menyebabkan masalah jerebu yang serius di kawasan berkenaan sehingga mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga 176 iaitu di tahap tidak sihat.

Lebih 10 hektar kawasan hutan tanah gambut telah terbakar sejak beberapa hari lalu, menerbangkan abu dan habuk yang mencemari ruang udara, kediaman serta harta benda.

Kompleks Kebajikan Hamidah yang merupakan tempat berteduh untuk lebih 100 anak-anak yatim merupakan lokasi yang terjejas teruk akibat pencemaran udara itu.

Kebakaran berlaku di sekeliling kompleks berkenaan sehingga anggota bomba dan penyelamat ditempatkan untuk mengawal api daripada terus marak.

Turut menerima nasib sama ialah warga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hua Tudan, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan penduduk di kawasan perumahan sekitarnya.

Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengedarkan sebanyak 850 penutup mulut dan hidung untuk penghuni kompleks dan pelajar SJKC Chung Hua untuk mengelakkan mereka terhidu asap dan abu yang boleh menjejaskan kesihatan.

Pengarah JAS Sarawak, Ismail Ithnin berkata, kebakaran yang masih berlaku di dalam tanah gambut menyukarkan usaha mengatasi sepenuhnya masalah itu.

“Kita boleh katakan bahawa masalah kebakaran di Kuala Baram telah terkawal. Bagaimanapun, kebakaran baharu boleh merebak sekiranya ditiup oleh angin. Kebakaran masih tetap berlaku dalam tanah kerana tanah gambut memiliki kandungan oksigen tinggi yang boleh menyebabkan kebakaran dalam tanah,’ jelasnya.

Beliau berkata, setakat semalam, seluruh bandar raya Miri mencatat IPU sehingga 59 iaitu di tahap sederhana.

Menurut Ismail lagi, usaha membanjirkan kawasan terbakar akan dilakukan untuk memadam kebakaran dalam tanah.

“Di Kuala Baram, kita menambah dua lagi ‘check dams’ (penahan air) menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak 18. Kita juga menambah dua lagi telaga tiub untuk menampung keperluan enam telaga tiub sekarang. Ini merupakan cara kita menakung sumber air untuk dilimpahkan di kawasan yang terjejas,” jelasnya.

Hadir sama meninjau keadaan kebakaran di Kompleks Kebajikan Hamidah semalam ialah Datuk Bandar Lawrence Lai dan Ketua JAS Miri Siva Nathiran Subramaniam.