Lima ditahan, geng pecah dan samun tumpas

1

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan geng pecah dan samun kereta yang bergiat aktif di sekitar Luyang, dekat sini, membabitkan kerugian RM44,000 dengan tertangkapnya lima lelaki termasuk tiga di bawah umur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata penahanan semua suspek termasuk dalangnya yang berusia 28 tahun turut membawa kepada pembongkaran dua kes jenayah lampau yang dilakukan geng berkenaan.

Katanya, geng terbabit dipercayai menjadikan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kolam, Damai, Luyang di sini sebagai stor menyimpan barangan yang disamun.

Menurutnya, polis berjaya menemui sejumlah barangan samun termasuk dua komputer riba, enam telefon bimbit beraneka jenama, seutas jam tangan, satu unit alat permainan video play station, satu unit kamus Besta, satu unit jalur lebar (broadband), beberapa kad bank dengan nilai anggaran bernilai RM17,000.

Kesemua suspek  berusia antara 14 hingga 28 tahun itu kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sofi berkata tembelang kegiatan jenayah suspek mulai dihidu berikutan satu kes melibatkan seorang mangsa, lelaki tempatan berusia 62 tahun pada 13 Jun lalu.

“Dalam insiden itu, pengadu melaporkan kejadian di mana kenderaannya dipecah masuk antara jam 7.20 hingga 7.50 malam di kawasan Jalan Bukit Padang, Luyang. Pengadu mendakwa kerugian kira-kira RM7,000 setelah komputer riba dan telefon bimbit dilarikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Bertindak atas maklumat dan risikan, pada 16 Jun lalu, sepasukan polis telah melakukan serbuan ke sebuah rumah tidak bernombor berhampiran Kampung Kolam, Bukit Padang dan menahan tiga lelaki.

“Pada serbuan yang dilakukan sekitar jam 2.35 pagi itu, polis berjaya menahan tiga remaja lelaki tempatan masing-masing berusia 15,16 dan 19 tahun di lokasi berkenaan.

“Hasil daripada tangkapan pertama, selang setengah jam kemudian, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun di sebuah rumah terletak di Jalan Sayfor, Bukit Padang.

“Siasatan awal kita percaya suspek berusia 28 tahun ini merupakan dalang kepada aktiviti terbabit,” katanya.

Tambahnya, seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan berhampiran Balai Polis Luyang pada 16 Jun kira-kira jam 8 pagi.

Menerusi tangkapan kesemua suspek, Sofi berkata polis turut berjaya merungkai kegiatan jenayah suspek pada 18 dan 30 Mei lepas juga di kawasan Bukit Padang, Luyang.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis percaya berjaya merungkai kegiatan jenayah mereka pada 18 dan 30 Mei lalu yang membabitkan dua mangsa di kawasan Kampung Nelayan, Bukit Padang,” katanya.

Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 27 dan 62 tahun dikatakan kerugian RM10,000 dan RM27,000 setelah barangan berharga mereka dilarikan dalam kejadian itu yang berlaku pada waktu malam.

Sementara itu, Sofi menjelaskan polis percaya modus operandi suspek adalah mengambil peluang ketika mangsa keluar dari kenderaan mereka.

“Ini berikutan waktu kejadian kesemua kes adalah sama iaitu ketika malam,” katanya yang tidak menolak kemungkinan suspek mengambil kesempatan ketika mangsa-mangsa sedang menikmati makan malam di lokasi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan kepada pemilik-pemilik kenderaan agar tidak meletakkan barangan berharga di dalam kenderaan mereka bagi mengelak kejadian seumpama ini terus berlaku pada masa hadapan.